CIMB catat untung bersih RM4.55 bilion pada 2019

0
243

KUALA LUMPUR – CIMB Group Holdings Bhd mencatat keuntungan bersih lebih rendah sebanyak RM4.55 bilion bagi 2019 berbanding RM5.58 bilion bagi tempoh sama setahun lepas.

Kumpulan itu melaksanakan pendirian yang lebih berhati-hati pada 2020 susulan cabaran ekonomi global, ketegangan perdagangan, ancaman membabitkan penularan Covid-19 serta potensi penurunan kadar faedah selanjutnya di rantau ini.

Perolehan bagi tahun tersebut juga tinggi iaitu RM17.79 bilion berbanding RM13.38 bilion sebelum ini.

“Prestasi itu adalah dalam jangkaan kami walaupun dalam pelbagai persekitaran makro yang mencabar. Sebagaimana yang pernah kami katakan, 2019 adalah tahun pelaburan di bawah (inisiatif) Forward23 dan kami gembira untuk menyaksikan usaha itu membuahkan hasil,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz said dipetik Bernama hari ini.

Bank tersebut katanya, juga berpuas hati kerana pendapatan operasinya menunjukkan pertumbuhan memberangsangkan, didorong pertumbuhan pinjaman di Malaysia, Singapura dan Thailand.

Perbankan komersial, khususnya mencatat prestasi kukuh dengan keuntungan sebelum cukai melonjak 87 peratus, sebahagiannya dipacu oleh pertumbuhan pinjaman perniagaan sebanyak dua digit iaitu 12.9 peratus di Malaysia.

“Saya juga gembira kerana bagi (operasi di ) Malaysia misalnya, kami berada di landasan tepat untuk mengagihkan peruntukan RM15 bilion kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan membantu kumpulan B40 menerusi peruntukan sebanyak RM12 bilion bagi pembiayaan serta produk berkaitan,” katanya.

Kumpulan itu mengumumkan dividen interim bersih sebanyak 12 sen sesaham yang akan dibayar secara tunai yang menjadikan jumlah dividen tahun ini kepada 26 sen sesaham atau RM2.55 bilion yamg merupakan nisbah pembayaran dividen lebih tinggi sebanyak 56 peratus berbanding 42 peratus pada 2018.

Bagi suku keempat, keuntungan bersihnya mencecah RM848.64 juta berbanding RM1.11 bilion sebelum ini manakala pendapatan berjumlah RM4.5 bilion berbanding RM4.07 bilion sebelumnya.

Bagi keseluruhan 2019, margin faedah bersih adalah 2.46 peratus berbanding dengan 2.50 peratus pada 2018, dengan beberapa kekurangan di Malaysia dan Thailand yang mana sebahagiannya telah diimbangi oleh peningkatan di Indonesia.

Kerugian peruntukan pinjaman naik 14.5 peratus kepada RM1.64 bilion bersamaan dengan kerugian caj pinjaman sebanyak 0.44 peratus.

Keuntungan bersih asas perniagaan seperti biasa (BAU) 2019 meningkat 7.7 peratus tahun ke tahun kepada RM5.01 bilion yang membawa kepada pendapatan sesaham 51.7 sen dan purata pulangan ekuiti BAU sebanyak 9.3 peratus.

Tahun ini akan menjadi tempoh pelaburan berterusan kepada rakyat dan teknologi dalam usaha memastikan daya tahan kumpulan dalam landskap operasi yang semakin mencabar, kata Tengku Zafrul.

“Bagi kemajuan masa depan, kami kekal berhati-hati memandangkan keadaan makroekonomi berserta ketidakpastian akibat virus Covid-19.

“Namun kami yakin bahawa separuh kedua 2020 akan menyaksikan ekonomi Malaysia meningkat susulan pengenalan pakej rangsangan yang diumumkan baru-baru ini serta inisiatif lain sektor swasta,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here