Coronavirus: Kesedaran orang ramai masih rendah

0
269

KUALA LUMPUR – Kesedaran orang ramai terhadap risiko jangkitan virus Novel 2019 Coronavirus (2019-nCoV) masih rendah berdasarkan tinjauan pemakaian topeng muka di tempat tumpuan ramai di ibu kota.

Tinjauan Malakat Tribune hari ini mendapati kebanyakan warga tempatan dan pelancong asing masih tidak mengamalkan pemakaian topeng muka sebagai langkah berjaga-jaga seperti disyorkan kerajaan.

Bagaimanapun sebahagian daripada mereka mengakui penularan virus yang sudah meragut ratusan nyawa di China itu sesuatu yang membimbangkan dan semua pihak wajar berwaspada.

Kakitangan Prasarana Berhad, Nordin Saad, yang bertugas di Stesen Transit Aliran Ringan(LRT) Kampung Baru berkata, pemerhatiannya mendapati pengguna LRT masih ramai yang tidak memakai topeng muka walaupun sudah ada kes di negara ini.

“Sepanjang pemerhatian saya, setiap hari boleh dikatakan kurang daripada 10 peratus penumpang yang memakai topeng muka.

“Saya harap pihak kerajaan dan media dapat memainkan peranan untuk tingkatan kesedaran orang ramai,” katanya.

Nordin Saad

Selain itu katanya, tindakan kerajaan menghentikan kemasukan pelancong dari China adalah langkah yang tepat walaupun sedikit terlewat.

“Selain tumpuan pada pelancong China, saringan rapi juga wajar dilakukan pada pelancong yang berkemungkinan mempunyai jejak perjalanan dari China,” katanya.

Pelajar jurusan undang-undang Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Intan Aqrisha Haira Aspari berkata, risiko jangkitan wabak itu adalah sesuatu yang membimbangkan terutama pada dirinya yang menggunakan LRT.

“Setiap hari saya berulang dari rumah ke kelas guna LRT. Memang risau tapi saya ambil langkah berjaga-jaga dengan memakai topeng muka dan kerap membasuh tangan,” katanya.

Intan Aqrisha Haira Aspari

Pekerja sektor swasta, Muhammad Uzir Rusof pula berpendapat, tahap kebimbangan orang ramai masih terkawal kerana kerajaan sudah mengambil langkah sewajarnya.

“Dalam kes coronavirus, saya rasa kerajaan sudah mengendalikannya dengan baik,” katanya.

Kakitangan farmasi, Siti Hajar Halim berkata, langkah berjaga-jaga seperti memakai topeng muka dan mengelak kawasan tumpuan ramai adalah pencegahan terbaik yang perlu diambil kira.

Sementara itu, di Bandar Baru Bangi, Semenyih dan Sungai Buloh tinjauan mendapati stok topeng muka di farmasi dan klinik habis dijual.

Di Bukit Bintang, harga topeng muka yang dijual penjaja mencecah RM10 setiap satu. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here