Coronavirus – pasaran saham China menjunam 9.0 peratus

0
124

HONG KONG: Pasaran ekuiti China susut hampir sembilan peratus hari ini selepas peniaga yang kembali daripada cuti Tahun Baru Cina bimbang dengan penularan koronavirus yang mengorbankan lebih banyak nyawa berbanding SARS, justeru menjejaskan ekonomi negara berkenaan.

AFP melaporkan kerugian besar yang diterajui oleh jualan besar-besaran di seluruh Asia berikutan pasaran global berdepan minggu yang ‘menyakitkan’ dengan coronavirus berkenaan membunuh 361 nyawa dan menjejaskan lebih 17,000 orang, selain kerajaan di seluruh dunia turut melarang penerbangan masuk dan keluar China.

Getty Images

Penganalisis memberi amaran bahawa wabak mungkin menjejaskan pertumbuhan global tahun ini, menafikan laporan bahawa ekonomi sudah menunjukkan tanda-tanda stabil selepas beberapa tahun perlahan.

Pemerhati berkata, China menjadi sebahagian daripada bahagian penting dalam infrastruktur perdagangan global, manakala negara lain juga terjejas teruk dan syarikat korporat utama membekukan atau mengkaji operasi di China yang mengancam rantaian bekalan global.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengumumkan amaran kesihatan global minggu lalu, namun langkah itu sekadar syor ke atas sekatan perdagangan dan perjalanan yang mungkin memberi kesan kepada China.

“Situasi amat teruk dan ekonomi China akan menjadi bertambah buruk,” kata Stephen Innes dari AxiCorp.

“Negara ASEAN yang memiliki hubungan perdagangan dengan China, lebih-lebih lagi negara yang menjadi destinasi pelancongan dan penyedia perkhidmatan kepada pelancong China akan menerima tamparan hebat.”

Saham Shanghai susut 8.7 peratus ketika dibuka ada hari pertama dagangan selepas cuti Tahun Baru Cina.

Pasaran sepatutnya dibuka pada Jumaat lalu, tetapi pihak berkuasa melanjutkan cuti dalam usaha memerangi coronavirus.

Kerugian pada Isnin adalah terbesar sejak kejatuhan pasaran pada 2015, walaupun indeks komposit berjaya mengurangkan beberapa kerugian dibantu keputusan bank pusat untuk menyuntik 1.2 trilion yuan (RM711 bilion).

Mata wang yuan susut sekitar 1.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).

Firma berkaitan pelancongan dan pengembaraan antara yang terjejas teruk, dengan syarikat tenaga, telekomunikasi dan teknologi juga susut.

Lebih 2,600 saham mencatat penyusutan harian dengan had 10 peratus, sementara kontrak utama bijih besi jatuh pada paras maksimum lapan peratus.

Tembaga, minyak mentah dan kelapa sawit juga susut ke paras hadnya.

“Impak jangka pendek terhadap pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK) China mungkin besar,” kata Oxford Economics dalam nota penyelidikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here