Covid-19: Arab Saudi gantung sementara kemasukan jemaah umrah

0
111

CYBERJAYA – Kerajaan Arab Saudi menghentikan sementara kemasukan jemaah untuk memasuki negara itu bagi mengerjakan umrah, bertujuan membendung jangkitan Covid-19, bermula hari ini.

Memetik laporan Arab News, Kementerian Luar Arab Saudi dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa penggantungan itu termasuk melibatkan program ziarah Masjid Nabi di Madinah.

Katanya, penggantungan itu turut membabitkan individu yang menggunakan visa pelancong dari negara-negara yang terjejas akibat Covid-19.

Tambahnya, kerajaan Arab Saudi menegaskan bahawa langkah itu hanya sementara dan akan dikaji semula mengikut keperluan semasa.

Pada masa sama, katanya, pihak kementerian terbabit turut menasihatkan rakyatnya supaya tidak berkunjung ke negara-negara yang mempunyai kes jangkitan tersebut.

Difahamkan kira-kira tujuh juta jemaah mengerjakan umrah di Arab Saudi setiap tahun dengan majoriti daripada mereka mendarat di lapangan terbang di Jeddah dan Madinah.

Setakat ini, tiada kes positif Covid-19 dilaporkan di Arab Saudi kecuali melibatkan seorang warganya yang ketika ini berada di Kuwait dan ditahan di sana untuk menerima rawatan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here