Covid-19: Pesakit warga Malaysia pulih sepenuhnya

0
62

CYBERJAYA – Seorang warga Malaysia yang dijangkiti Covid-19 sebelum ini dibenarkan pulang hari ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dzulkefly Ahmad.

Menurut beliau, pesakit yang sembuh sepenuhnya itu menjadikan angka terbaharu yang berjaya sembuh sehingga kini seramai sembilan orang.

Kata beliau, individu berumur 41 tahun itu sebelum ini dirawat di Hospital Sungai Buloh dan telah menjalani ujian pengesanan ulangan Covid-19 serta didapati negatif sebanyak dua kali berturut-turut, sebelum dibenarkan pulang.

“Jumlah kumulatif kes Covid-19 yang dilaporkan sehingga hari ini kekal sebanyak 22 kes dan hanya 13 kes yang masih dirawat di wad,” katanya seperti dipetik agensi berita Bernama dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dr. Dzulkefly menambah, daripada keseluruhan 22 kes dilaporkan, 12 kes dalam kalangan kes Pesakit Dalam Siasatan (PUI), lapan kes dalam kalangan kontak rapat, dua kes dalam kalangan rakyat Malaysia yang dibawa pulang dengan Misi Bantuan Kemanusiaan.

Beliau turut memaklumkan telah membuat telesidang bersama dengan Menteri Kesihatan Kemboja, Prof. Mam Bunheng petang tadi bagi memperkukuhkan kerjasama di antara dua negara, dalam usaha menangani kejadian jangkitan wabak tersebut.

Katanya, pada telesidang itu, beliau maklumkan kepada Bunheng pesakit warga Amerika Syarikat menunjukkan tahap kesihatan yang semakin baik.

“Saya turut memaklumkan bahawa ujian pengesahan Covid-19 ulangan telah dijalankan mengikut tatacara yang ditetapkan dan didapati masih positif. Saya dan Menteri Kesihatan Kemboja berharap keadaan kesihatan pesakit berkenaan bertambah baik.

“Kementerian Kesihatan akan terus bekerjasama secara rapat dengan semua negara yang terlibat dan pihak WHO, dalam pengurusan kes Covid-19 dan penyelarasan maklumat bagi menjalankan aktiviti pengesanan kontak rapat,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here