DAP Sarawak sedia jalin kerjasama dengan GPS

0
155

PUTRAJAYA – DAP Sarawak bersedia untuk mengetepikan perbezaan yang lalu dan menjalinkan kerjasama dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS) demi kepentingan rakyat dan negara.

Tegas Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, pihaknya sanggup mengambil pendirian itu bagi memastikan negara tidak terus terjerumus ke dalam kancah kemusnahan dan kekal di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang dipilih rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

“Saya memohon kepada pemimpin GPS supaya mengetepikan segala perbezaan politik lampau dan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) bagi menyelamatkan negara daripada terus terjerumus ke dalam kancah kemusnahan.

“Bagi pihak DAP Sarawak, kami sanggup berkompromi dan mengetepikan semua perbezaan untuk bekerjasama dengan GPS demi kepentingan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Terdahulu PH dalam kenyataan awal pagi ini, menyatakan sokongan penuh kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri ke-8.

Ia selepas wujudnya kumpulan Perikatan Nasional yang diwakili Muafakat Nasional, Bersatu dan serpihan PKR yang diketua Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang bertindak menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai calon perdana menteri ke-8.

Sokongan GPS dan Warisan dilihat menjadi penentu kepada kemelut politik hari ini kerana masih belum ada mana-mana pemimpin daripada kedua-dua parti Malaysia Timur itu menyatakan sokongan secara jelas.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here