Dari bekas Menteri Besar ke Perdana Menteri

0
307

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan selepas beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pelantikan itu juga selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara (43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

Berikut adalah biodata Perdana Menteri kelapan:

Tan Sri Muhyidin Yassin dilahirkan pada 15 Mei 1947, beliau merupakan Presiden Bersatu ketika ini dan bekas Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan bekas Menteri Dalam Negeri.

Beliau juga merupakan bekas Menteri Besar Johor, bekas Menteri Belia dan Sukan, bekas Menteri Perdagangan dan Hal Ehwal Pengguna, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani dan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Kehidupan awal

Beliau berasal dari Muar, Johor dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Maharani dan Sekolah Kebangsaan Ismail serta Sekolah Tinggi Muar di Muar.

Kemudiannya beliau melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dan Pengajian Melayu (1971).

Keluarga

Muhyiddin telah mendirikan rumahtangga pada 1972. Hasil daripada perkongsian hidup beliau bersama Datin Sri Norainee Abd. Rahman, mereka dikurniakan cahaya mata iaitu Fakhri Yassin, Nabilah, Najwa dan Farhan Yassin.

Ayah beliau yang bernama Muhammad Yassin Muhammad adalah seorang ulamak terkenal di Bandar Maharani (Muar), Johor.

Hasil perkongsian hidup ayahanda beliau dengan empat orang isterinya dikurniakan 46 orang anak.

Adik beradik Muhyiddin dari pihak seibu yang masih hidup ialah Aziz Mohd. Yassin (abang),Rohana Mohd Yassin (kakak) Sahid Mohd. Yassin (adik lelaki) dan Fatimah Mohd. Yassin (adik perempuan).

Kakak Muhyiddin yang bernama Norani Mohd. Yassin dan abang beliau Ismail Mohd. Yassin telah pun kembali ke rahmatulah.

Muhyiddin seperti biasa pada tiap-tiap tahun selalu mengadakan hari perjumpaan keluarga pada hari kedua atau hari raya ketiga di kediamannya di Tanjung Emas Muar.

Kerjaya

Beliau memulakan kerjaya sebagai Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Johor (1970) dan kemudiannya Penolong Pegawai Daerah Muar (1974). Pengalaman sebagai penjawat awam digunakan sepenuhnya oleh beliau untuk berkecimpung dalam dunia korporat.

Antara tahun 1974 hingga tahun 1978, Muhyiddin telah memegang beberapa jawatan penting di SGS Ates Sdn. Bhd. sebagai Pengurus Perjawatan, Pengarah Urusan Sri Saujana Berhad serta Pengarah Syarikat Equity Mal Sdn Bhd.

Politik

Pernah mengetuai UMNO Bahagian Pagoh iaitu jawatan yang beliau pegang sejak April 1985. Sebelum bertukar kepada Bersatu.

Sebelum itu beliau pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pagoh pada tahun 1976. Dari situ karier politiknya terus berkembang apabila beliau dilantik menjadi Ketua Pemuda UMNO Malaysia (1982). Pada tahun 1985, buat pertama kalinya, Muhyiddin dipilih menjadi Ahli Majlis Tertinggi UMNO.

Jawatan ini digunakan sepenuhnya untuk menabur bakti dan kemudiannya menjadi tokoh yang dipilih menduduki kerusi Naib Presiden bermula September 1993 sehingga 2008.

Beliau kemudiannya diundi menjadi Timbalan Presiden UMNO dengan mengalahkan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib

Bagaimanapun krisis politik pada Jun 2016 menyaksikan Muhyiddin dipecat daripada UMNO dan membentuk parti Bersatu bersama Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Jawatan kerajaan

Beliau pertama kalinya dipilih menjadi wakil rakyat apabila beliau memenangi kawasan Parlimen Pagoh pada pilihan raya tahun 1978.

Beliau yang berjaya mempertahankan kerusi parlimen berkenaan pada pilihan raya umum pada tahun 1982 telah dilantik menjadi Menteri Besar Johor selepas Pilihan Raya Umum ke-7 apabila memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Bukit Serampang.

Di bawah kepimpinan beliau, negeri Johor terus berkembang pesat dan menjadi antara negeri yang termaju di Malaysia.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here