KEMPEN ‘Buy Muslim First’ (BMF) yang tercetus pada penghujung 2018 memberi impak besar terhadap ekonomi negara. Umat Islam secara umumnya menyambut baik malah tidak kurang juga yang menolaknya dengan pelbagai alasan.
Ada yang langsung tidak mahu terlibat kerana beranggapan usaha itu tidak mungkin berkesan atau dapat mengubah apa-apa, seperti mencurah air di atas daun keladi.
Malah di sesetengah negeri pula, ada kerajaan yang mengeluarkan larangan kempen BMF diadakan di masjid-masjid atas alasan tidak kena pada landas dan syariat Islam. Pada penulis, keputusan itu lebih kepada pendekatan bersifat apologetik.
Lebih menyedihkan apabila kempen BMF dikatakan tidak lebih sekadar alat yang digunakan oleh pertubuhan-pertubuhan dan pihak tertentu untuk mencapai kepentingan mereka.
Semua ini membuktikan betapa tahap kesedaran kita mengenai BMF masih lagi rendah, ragu-ragu malah ada yang sudah mula melupakannya serentak dengan pasang dan surut isu itu dalam media sosial.
Walhal jika disoroti sejarah Islam, kempen seumpama itu pernah dilakukan pada zaman Rasulullah di Madinah untuk mengukuhkan ekonomi umat Islam yang ketika itu didominasi bangsa Yahudi dan bergelumang dengan riba.
Bersandarkan prinsip itu, kita dapat lihat bahawa usaha tersebut jelas tidak bertentangan dengan mana-mana syariat Islam malah bertepatan dengan maqasid syariah dalam menjaga kemaslahatan ekonomi ummah.
Selain itu, pelaksanaan gerakan itu juga tepat dalam menyahut tuntutan mendapatkan makanan daripada sumber yang halalan toyyiban.
Dan yang paling penting untuk difahami, keutamaan pada produk muslim tidak bererti satu penolakan kepada produk-produk keluaran bukan Islam yang telah lama mendapat sijil halal tetapi lebih kepada penyediaan pilihan dan jaminan yang lebih diyakini.
Sehubungan itu, gerakan BMF tidak seharusnya dilihat sebagai perang kepada produk bukan Islam tetapi sebagai serampang dua mata yang memberi kesan baik dan mempertahankan
hak kepenggunaan masyarakat di negara ini.
Pada namanya, ya ia menunjukkan usaha memperkasa dan melonjakkan produk-produk usahawan Islam tetapi masyarakat bukan Islam sebenarnya tidak perlu memusuhi gerakan ini kerana ia turut membawa kepada persaingan sihat dalam pasaran.
Malah ia terbukti apabila kempen yang dilaungkan berjaya menurunkan harga barang-barang
dominasi yang selama ini berdiri ‘megah’ di rak-rak utama pasar raya dan kedai runcit tanpa ada persaingan.
Sehubungan itu, BMF wajar dilihat sebagai satu ‘pembelaan hak’ seperti mana keberkesanan khidmat yang dilakukan oleh Persatuan Penggunaan Islam Malaysia (PPIM) yang bukan sahaja membela nasib pengguna Islam malah seluruh rakyat di negara ini yang ditipu dan diambil kesempatan.
Namun begitu, selepas terbukti keberkesanan BMF, persoalan yang timbul di fikiran kita sekarang adalah masihkah kita menikmati manfaat daripada kempen itu. Selama mana ia mampu bertahan atau ia sudahpun berakhir?
“Selepas lebih setahun kempen BMF digerakkan, apa pencapaian kita setakat ini? Di manakah pertubuhan-pertubuhan yang selama ini bersorak kencang pasal BMF dan adakah orang kita masih mencari produk muslim,” soal rakan penulis yang ternyata masih tidak yakin pada kempen berkenaan.
Penulis tidak menjawab panjang sebaliknya sekadar mengajak dia berfikir bahawa usaha itu sememangnya tidak mungkin berjaya tanpa kesepakatan umat Islam. Saya juga sempat melontarkan satu soalan kepada sahabat berkenaan.
“Selama manakah kita mahu mengharapkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menjadi tulang belakang kempen itu kalau bukan kita sebagai pengguna menggalas tanggungjawab tersebut?
Hakikatnya, peranan NGO Islam seperti Pembela, KoPPIM dan PPIM dalam usaha ini sudah pun membuahkan hasil. Bahkan tiupan semboyan mereka tidak berakhir sekadar di media sosial kerana kini mereka telah pun beralih ke fasa seterusnya iaitu pelaksanaan (BMF).
Terbaharu dan contoh terbaik adalah melalui penglibatan mereka dalam mewujudkan sebuah pasar raya berkonsepkan Islam iaitu Malakat Mall yang dibangunkan oleh kumpulan pendidikan Brainy Bunch diterajui Coach Fadzil.
Ramai sudah tahu mengenainya tetapi ramai juga yang langsung tidak menyedari kemunculan pasar raya yang akan memulakan operasi pada Mac tahun ini. Pada penulis, selepas kejayaan BMF, inilah contoh terbaik dan hasil yang berjaya diterjemahkan dalam bentuk praktikal dan bukan sekadar angan-angan..
Selain terus istiqomah pada produk-produk keluaran Muslim, umat Islam di negara ini juga memerlukan hala tuju, contoh dan juga inspirasi untuk terus menguasai ekonomi. Pada skala yang besar, Malakat Mall adalah yang pertama seumpamanya.
Jika dilihat pada perancangan perniagaan yang lengkap di dalam premis serba moden, sistem pembayaran tanpa tunai dan 100 peratus berkonsepkan patuh syariah itu, usaha tersebut bukanlah sesuatu yang mudah untuk dilaksanakan.
Namun atas keyakinan pada rahmah di jalan Allah, usaha itu telah dipermudahkan melalui sokongan moral dan kerjasama para usahawan Islam. Insyallah tidak lama lagi, lebih banyak Malakat Mall akan dibuka di negara ini.
Yang pasti, dalam usaha mewujudkan ekosistem ekonomi Islam yang baharu, umat Islam di negara ini perlu belajar sesuatu daripada tokoh korporat Brainy Bunch yang sanggup melabur jutaan ringgit untuk melihat kejayaan pembangunan ekonomi Islam. – MT