Dituduh gila kuasa punca Dr. Mahathir letak jawatan

0
135
Dr. Mahathir muncul di televisyen bagi menjelaskan tindakan beliau meletakkan jawatan secara mengejut

CYBERJAYA – Selepas tiga hari meletak jawatan sebagai Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini tampil menjelaskan punca beliau bertindak demikian sehingga menyebabkan berlakunya pergolakan politik dalam negara sekarang.

Bercakap dalam satu pengumuman di televisyen, Dr. Mahathir berkata, tindakan beliau diambil kerana kecewa dituduh gila kuasa dan tidak mahu melepaskan jawatan.

“Ada banyak sebab saya meletak jawatan tetapi cukuplah saya katakan bahawa saya rasa kononnya mendapat sokongan daripada semua pihak higga saya tak dapat memilih pihak mana saya pilih

“Selain itu ada juga tuduhan saya tidak berniat mahu melepas jawatan dan gila kuasa, maka saya letak jawatan kerana asaya tak lihat jawatan dan kuasa sebagai ‘be all’ dan ‘end all’ adalah matlamat saya. Bagi saya kuasa dan kedudukan satu alat untuk mencapai  objektif dan objektif kita semua untuk kebaikan negara kerana itu saya meletak jawatan,” katanya.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir menegaskan beliau sememangnya sudah berjanji untuk meletakkan jawatan dan memberi peluang kepada Dewan Rakyat untuk memilih siapa yang akan menggantikannya.

“Kalau benar saya masih disokong saya akan kembali jika tidak saya akan terima siapa saja yang akan dipilih, jadi peluang untuk menukar kepimpinan memang ada hanya saya berpendapat oleh kerana saya disokong oleh kedua-dua pihak masa untuk letak jawatan belum tiba.

“Saya minta diberi masa tetapi parti saya, Bersatu keluar daripada Pakatan Harapan (PH), ada juga ahli daripada parti komponen lain yang akan keluar, dengan perakuan ini kerajaan PH akan gugur,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, sekiranya Bersatu menyokong Pas dan UMNO iaitu parti yang kalah dalam pilihan raya lalu, kerajaan yang bakal dibentuk akan didominasi oleh UMNO.

Katanya, beliau sanggup menerima ahli Parlimen UMNO yang menyertai parti lain, bukan sebaliknya.

“Tetapi UMNO akan sertai kerajaan campuran ini sebagai parti UMNO, ini tidak dapat diterima oleh saya maka saya terpaksa letak jawatan,” katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir turut meminta semua ahli dan parti politik meletak ke tepi dahulu perbezaan politik dan menumpukan kepada kepentingan negara. 

“Saya berpendapat betul atau tidak politik dan parti perlu diketepikan buat masa sekarang, jika dibenarkan saya cuba buat pemerintahan yang tidak memihak pada mana-mana parti hanya kepentingan negara sahaja yang akan diutamakan.

“Jika diizinkan inilah yang saya cuba, saya berdoa dan pohon kepada Allah untuk diberi petunjuk dalam usaha ini,” katanya.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here