‘Doakan semoga kemelut politik selesai’

0
103

KUALA LUMPUR – Orang ramai diminta tidak perlu bimbang dengan pergolakan politik yang berlaku sejak kebelakangan ini kerana ia dapat diselesaikan dalam tempoh segera.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, beliau yakin krisis yang berlaku ketika ini mampu terungkai selewat-lewatnya minggu depan.

Menurut beliau, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dilihat akan membuat keputusan yang baik dan ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) tetap bersiapsiaga.

“Rakyat tidak perlu gelisah lagi sebab saya rasa satu keputusan yang baik dengan cara terhormat dan terbaik.

“Saya jangka minggu depan kegelisahan rakyat tidak lagi berlaku serta negara kembali aman dan damai dalam kerajaan yang memperjuangkan agama, bangsa dan negara,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau mendakwa, keadan huru-hara dalam politik yang berlaku sejak dua tahun lalu disebabkan perkara tidak betul dibuat oleh kerajaan.

Beliau berkata, perkara itu menyebabkan beberapa hari lalu berlaku peristiwa sedih yang tidak sepatutnya dan rakyat harus bersabar melalui situasi itu.

“Kita bersyukur dan kena sentiasa berdoa kepada Allah supaya negara ini dapat diselamatkan,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here