
KUALA LUMPUR: Dua bekas ketua polis negara dan seorang bekas yang di-pertua Dewan Negara hadir ke Istana Negara hari ini, bagi menyerahkan satu memorandum kepada Majlis Raja-raja Melayu.
Memetik portal FreeMalaysiaToday, bekas ketua polis negara, Tun Mohamed Hanif Omar dan Tan Sri Musa Hassan serta bekas yang di-pertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang menyerahkan memorandum tersebut kepada wakil SUSK Yang di-Pertuan Agong, Kolonel Datuk Nazim Mohd. Alim.
Ketika ditanya mengenai isi kandungan memorandum berkenaan, Hanif berkata isi kandungannya hanya untuk tatapan Majlis Raja-raja.
Hanif yang berkhidmat sebagai ketua polis negara selama 20 tahun dari 1974 hingga 1994, ke istana atas kapasitinya sebagai penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM).
Ketika ini, Majlis Raja-raja sedang bermesyuarat untuk mencari penyelesaian terhadap kemelut politik selepas kerajaan Pakatan Harapan tumbang.