Energy Candy bawa kesan sampingan kepada pengguna

0
312

CYBERJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan larangan import dan penjualan produk Energy Candy kerana disahkan mengandungi racun berjadual tadalafil.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) telah menjalankan pemantauan terhadap produk itu setelah tular dalam media sosial.

Menurut beliau, hasil analisis makmal ke atas produk itu didapati mengandungi tadalafil yang merupakan bahan terlarang penggunaannya dalam makanan dibawah Akta Makanan 1983.

“Produk yang terlibat adalah ExraAli Energy Candy, Extra Strong Energy Candy dan Mixed Fruit Candy.

“Tadalafil adalah ubat terkawal yang digunakan dalam merawat pesakit yang mengalami masalah Erectile Dysfunction (mati pucuk). Ubat ini hanya boleh diberikan kepada pesakit dibawah pemantauan ahli profesional berdaftar,” katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook miliknya hari ini.

Tambah Noor Hisham, penyalahgunaan tadalafil tanpa pengawasan boleh menyebabkan komplikasi pengurangan atau kehilangan penglihatan dan pendengaran serta penurunan tekanan darah mendadak sehingga ke peringkat yang berbahaya.

Selain itu ujar beliau, ia juga boleh memberi kesan terhadap sistem kardiovaskular seperti strok dan serangan jantung.

“Sehubungan itu larangan pengimportan telah dikeluarkan serta merta dan KKM memberi amaran kepada sesiapa menyimpan stok produk itu dan menghentikan pengedaran serta penjualan termasuk jualan dalam talian,” tegas beliau.

Menurutnya, mereka yang didapati berbuat demikian boleh dikenakan tindakan dibawah Seksyen 13, Akta Makanan 1982 iaitu jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here