FIFA ID : Peluang teroka potensi bola lebih jauh

0
217

RAUDHAH CITY – Kerjasama Brainy Bunch Football Academy (BBFA) dengan The Sekolah Bola melalui program pembangunan bola sepak bakal melahirkan pasukan pelapis bertaraf dunia.

Pengasas The Sekolah Bola, Coach Mohd Yazid Yahaya berkata, kerjasama yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) pada 12 Februari lalu akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam menyediakan latihan bola sepak yang komprehensif untuk jangka masa panjang.

Brainy Bunch bangun latihan bola sepak bertaraf dunia

“Latihan berstruktur menggunakan sistem Secrets to Sports (S2S) akan memberi tumpuan kepada peringkat umur 7 hingga 12 tahun untuk pembangunan karakter, adab dan insaniah melalui bola sepak.

“Selain itu kita juga menjadi kelab bola pertama yang memperkenalkan pendaftaran rekod FIFA melalui FIFA ID kepada pelatih untuk pelan pembangunan bakat jangka panjang,” katanya selepas taklimat BBFA kepada ibu bapa di Ibu pejabat Brainy Bunch hari ini.

Mohd Yazid berkata, selain latihan pihaknya turut menyusun pelbagai aktiviti termasuk klinik bola, kunjungan ke kelab bola ternama, pertandingan peringkat tempatan dan antarabangsa.

Sebagai memperkukuhkan lagi sistem pembangunan bola sepak di BBFA, satu kompleks padang bertaraf FIFA juga sedang dalam pembinaan dan dijangka siap menjelang Mei ini.

Sementara itu, ibu pelajar, Haziqah Mohd Zuhuri berpendapat, pembaharuan yang dilakukan dalam kandungan latihan bola sepak itu dilihat lebih lengkap berbanding sebelum ini.

“Selepas mendengar pelan tiga tahun latihan yang disediakan pihak sekolah (Brainy Bunch) saya lebih yakin untuk menghantar anak berlatih di BBFA,” katanya.

Hamimah Othman berkata, penyediaan silibus latihan yang lebih berstruktur oleh jurulatih yang berpengalaman dan kemudahan baharu yang selesa bersebelahan sekolah memberi banyak kelebihan kepada pelajar dan penjaga. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here