Filem animasi Kring! angkat tema disleksia menang anugerah peringkat antarabangsa

0
1780
Hilmi Ismail bersama anugerah yang dimenangi oleh animasi Kring! dalam Festival Filem 4 Antarabangsa Du Sur Les Handicap 2020 (FIFH) di Lyon, Perancis


CYBERJAYA – Filem animasi pendek hasil kepakaran anak tempatan yang mengangkat tema masalah disleksia dalam kalangan murid sekolah berjaya meraih Anugerah Animasi Terbaik di Festival Filem 4 Antarabangsa Du Sur Les Handicap 2020 (FIFH) di Lyon, Perancis.


Menurut  Pengarah Urusan Brainy Bones, Hilmi Ismail, filem animasi bertajuk Kring! itu memaparkan watak Cikgu Suraya yang merupakan seorang guru sekolah berdedikasi tinggi dan setiap hari membantu muridnya di sekolah.   

Katanya, menerusi filem itu, Cikgu Suraya menghadapi cabaran untuk membantu salah seorang muridnya yang mempunyai masalah dengan pembelajaran dan mempunyai imaginasi berbeza berbanding pelajar lain menerusi lukisan yang dihasilkannya. 

“Disebabkan itu Cikgu Suraya mula bimbang muridnya itu gagal dalam kelas, tetapi selepas menghabiskan berjam-jam melihat lukisannya, Suraya mendapati anak lelaki itu sedang belajar tetapi dengan cara yang berbeza.

“Suraya memutuskan untuk mengambil masa tambahan untuk mengajar murid berkenaan dengan menggunakan kaedah yang dia selesa iaitu lukisan. Akhir filem pendek itu mesti dilihat oleh semua orang kerana ia akan membuat orang yang paling sukar menangis akan sebak,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Syarikat animasi  Brainy Bones Studio merupakan salah sebuah anak syarikat di bawah Kumpulan Brainy Bunch yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd. Fadzil Hashim.
Dalam pada itu, Hilmi turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terus menyokong karya mereka sepanjang tahun ini dan berharap lebih banyak kejayaan akan diperoleh dalam masa terdekat ini.

“Kami juga ingin menggalakkan lebih banyak juruanimasi untuk mencipta kandungan yang lebih bermakna dengan nilai tinggi untuk penonton. Kami memerlukan lebih banyak filem dan animasi yang dapat memberikan impak positif kepada penonton, “katanya.
Sementara itu, Mohd Fadzil berkata, filem Kring! dihasilkan bagi menghargai sumbangan guru.

“Kami juga ingin mempamerkan keupayaan pasukan kami untuk menghasilkan animasi etika yang berkualiti,” katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Fadzil berkata, dalam waktu terdekat ini, Brainy Bones akan melancarkan platform animasi untuk orang ramai menerusi medium dalam talian sebagai usaha untuk mewujudkan filem animasi yang menerapkan nilai-nilai etika berkelas dunia dengan menggunakan juruanimasi dunia melalui IP yang dikongsi sebagai juruanimasi bebas.

‘Sistem semasa memberi keuntungan terbesar kepada kapitalis, tetapi dengan platform kami, juruanimasi akan memperoleh hasil yang paling banyak daripada karya mereka,”ujarnya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here