Harga ‘mampu makan’ di Bunch-Oh Malakat Mall

0
1806

RAUDHAH CITY – Jika berkunjung ke Cyberjaya, tidak dinafikan mungkin ada yang termenung dan berfikir ‘dua kali’ untuk memasuki mana-mana restoran kerana harga yang di kenakan di kawasan bandar pintar itu boleh dikatakan agak mahal.

Mengambil inisiatif untuk membantu orang ramai mendapatkan ‘harga yang berpatutan, pusat beli belah Malakat Mall mewujudkan sebuah restoran iaitu Bunch-Oh yang akan menghidangkan pelbagai jenis hidangan berkonsepkan ‘all day dining’.

Pengarah Food and Beverage (F&B) Malakat Mall, Aziz Juhari berkata, Restoran Bunch-Oh atau disebut ‘bancuh’ menawarkan kira-kira 50 hidangan dengan konsep ‘all day dining’ iaitu merangkumi sarapan pagi, makan tengahari, minum petang dan makan malam.

Beliau berkata, harga yang ditawarkan pula amat berpatutan dan ‘mampu makan’ iaitu bermula RM1 hingga RM29, apa yang lebih menarik hidangan yang ditawarkan merupakan pelbagai hidangan barat dan juga aneka pilihan masakan tempatan.

“Kita ada kira-kira 50 menu pilihan di Bunch-Oh. Selain masakan barat dan masakan tempatan, kita juga menyediakan pelbagai pilihan kuih tradisional untuk minum petang. Ia akan menjadi tarikan utama untuk peminat kuih tradisional di sini.

“Di Bunch-Oh, kita menyediakan pelbagai pilihan minuman untuk pelanggan. Kami jangkakan yang akan menjadi pilihan nanti ialah aneka jenis kopi yang dibawa khas dari dalam dan luar negara,” katanya ketika ditemui Malakat Tribune hari ini.

Menurut Aziz, peminat kopi pasti teruja dan tidak akan melepaskan peluang menikmati kopi asli sebenar yang dibawa khas dari Indonesia, Brazil dan juga Guatemala selain produk-produk kopi tempatan yang sememangnya mendapat tempat di negara ini.

Mengulas lanjut, Aziz berkata, antara pilihan untuk sarapan pagi ialah nasi lemak berharga RM1 dan juga roti bakar buatan sendiri, untuk makan tengahari pula set berharga RM10 termasuk air dan makan malam hidangan ‘ala- carte’ yang harganya tidak lebih RM29.

Katanya, untuk mempelbagaikan pilihan hidangan kepada pelanggan di Bunch-Oh, pihaknya juga telah menjalinkan kerjasama dengan enam pengusaha makanan iaitu Finana Pizza, Sushi Nan, Mr. Tako, Osyter Box, Maboot Satay dan Mr. Kebab.

“Enam pengusaha makanan berkenaan akan ditempatkan di bahagian kiosk, ada yang digabungkan dan ada yang beroperasi sendiri. Mereka ini melalui proses yang ketat sebelum dipilih untuk beroperasi di Bunch-Oh.

“Selain itu kita juga membawa masuk masakan utama restoran Dangau iaitu set ayam dara goreng, ayam cincang dan daging salai . Untuk kuih tradisional kita kita tempah dari pengusaha ‘homemade’ termasuk pelbagai jenis kek,” katanya.

Aziz berkata, inisiatif berkenaan secara tidak langsung dapat membantu usahawan kecil untuk memasarkan produk makanan masing-masing kerana ia sememangnya mendapat permintaan yang tinggi sekiranya dipasarkan secara berkesan.

Selain itu katanya, Bunch-Oh menggunakan konsep layan diri, yang mana pelanggan boleh mengambil pesanan secara terus selepas membuat pembayaran namun, terdapat juga sesetengah makanan ‘ala-carte’ yang akan ke meja.

Sementara itu, Pengurus Operasi Food and Beverage (F&B) Malakat Mall, Ahmad Rafudin Ahmad Baharudin berkata, operasi di Bunch-Oh akan melibatkan sebanyak 36 orang kakitangan yang diketuai Chef, Mohamad Zulkifli Sulong.

Dalam pada itu, Mohamad Zulkifli memaklumkan, antara hidangan lain yang ditawarkan kepada pelanggan ialah mee kari, mee udang, asam laksa, aneka salad, grilled salmon with lemon butter, fish and chip, chicken chop, roasted chicken, roasted beef, lamb shank dan pelbagai lagi.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here