Hormati keputusan muktamad Agong 

0
72

CYBERJAYA – Ketetapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkaitan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri melegakan politik negara. 

Menurut Felo Penyelidik Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Muhammad Fathi Yusof berkata, pelantikan di bawah Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan itu ibarat penutup tirai kepada polemik politik yang menggemparkan negara hampir seminggu. 

Menurutnya, seluruh rakyat terutama pemimpin politik dan para penyokong wajar menghormati keputusan berkenaan.

Tambahnya, semua pihak perlu menerimanya dengan hati terbuka dan ketetapan Seri Paduka tentunya tidak boleh dipersoal serta dirayu. 

“Perkara 40(2) secara jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicaranya pada melaksanakan fungsi yang tertentu termasuklah melantik seorang Perdana Menteri. 

“Budi bicara Seri Paduka adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana tribunal atau mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Muhammad Fathi menambah, bahkan dalam melaksanakan budi bicara ini, Seri Paduka  mempunyai kuasa yang amat luas. 

“Hal ini boleh difahami dari perkataan yang digunakan dalam Perkara 43(2)(a). 

“Peruntukan Perlembagaan itu menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong perlu melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang ‘pada hematnya mungkin’ mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat itu sebagai Perdana Menteri untuk mempengerusikan Jemaah Menteri,” jelasnya. 

Katanya, perkataan ‘pada hematnya’ dan perkataan ‘mungkin’ menggambarkan betapa luasnya budi bicara Seri Paduka.

“Seri Paduka sebenarnya boleh membuat keputusan berdasarkan pertimbangan umum atau secara subjektif. Jika Seri Paduka  berbuat demikian ia tetap tidak boleh dipertikaikan oleh sesiapa,” ujarnya.

Namun menurutnya, semua pihak tahu walaupun Perlembagaan memberikan banyak kelonggaran, Seri Paduka tetap memilih cara yang amat teliti dan objektif termasuklah melalui pertemuan bersemuka dengan hampir semua 222 ahli Parlimen.  

“Amat mendukacitakan, jika ketelitian dan keprihatinan Seri Paduka ini dibalas dengan pertikaian dan usaha untuk membuat rayuan atau cadangan balas.

“Jika ingin mencabar sekali pun, pentas yang disediakan adalah persidangan Dewan Rakyat, melalui usul tidak percaya. Itu pun jika ahli politik masih mahu meneruskan episod percakaran politik seperti yang disaksikan dalam tempoh seminggu ini,” katanya. 

Katanya, rakyat sebenarnya sudah bosan dengan polemik dan pergolakan politik. 

“Seminggu yang berlalu dengan penuh episod-episod bolak-balik politik, perundingan sokongan dan perebutan pengaruh antara ahli politik hampir-hampir menghilangkan keyakinan rakyat kepada elit politik.

“Jika berlaku usul tidak percaya di Dewan Rakyat, dipercayai pilihan terbaik ialah pembubaran Parlimen bagi memberikan hak kepada rakyat untuk memperbaharui mandat bagi membentuk kerajaan baharu,” katanya.

Menurutnya, rakyat mahukan pentadbiran yang lancar bagi memacu pembangunan negara.

“Seri Paduka telah membuat keputusan yang jelas. Oleh itu, dinasihatkan agar semua pihak menerima dengan hati yang lapang dan tidak mempersoal ketetapan Seri Paduka.

“Rakyat dan pemimpin perlu sama-sama melihat ke hadapan dan memadamkan sengkata silam bagi memberikan fokus kepada kesejahteraan rakyat serta pembangunan negara,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here