Hutan Bukit Bendera terbakar lagi

0
202
Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Lebih 0.8 hektar kawasan hutan berhampiran stesen bawah keretapi funikular Bukit Bendera di sini dilaporkan terbakar pada tengah malam tadi iaitu kejadian kedua sejak Ahad lalu.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu pada jm 12.15 tengah malam tadi dan sebuah jentera bersama pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Paya Terubong bergegas ke lokasi.

“Sebaik tiba, api sedang marak berikutan keadaan angin kuat dan kebakaran itu melibatkan pokok-pokok kecil serta daun kering dalam hutan tersebut. Apa yang menjadi masalah kepada pihak bomba ialah tiada akses ke lokasi berkenaan (kebakaran) serta ia melibatkan kawasan cerun bukit.

“Kami perlu berjalan kaki ke lokasi kebakaran yang jaraknya hampir 100 meter dari stesen bawah keretapi funikular tersebut bagi menjalankan kerja pemadaman dan berulang alik untuk membawa bekalan air,” katanya dipetik Bernama, hari ini.

Menurutnya, pihak bomba membuat kerja pemadaman menggunakan ‘jet shooter’ serta peralatan ‘forest fire’ dan pam racun galas bagi memadam serta mengawal kebakaran daripada merebak.

Jurucakap itu berkata operasi memadam kebakaran itu turut dibantu Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bukit Bendera dan pihaknya berjaya mengawal api daripada merebak ke kawasan lain dalam tempoh 30 minit.

“Kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira sejam kemudian, namun pihak bomba terpaksa memantau bagi memastikan bara api dipadamkan sepenuhnya kerana ia akan menyebabkan berlaku lagi kebakaran,” katanya.

Beliau berkata pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui punca sebenar kebakaran itu.

Dalam kejadian jam 7 malam, Ahad lalu, kira-kira satu hektar kawasan hutan berhampiran landasan keretapi funikular Bukit Bendera antara stesen bawah dan tengah, di sini, terbakar.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here