
CYBERJAYA – Insiden amuk di bandar Korat, Thailand masih belum diselesaikan sepenuhnya dengan pasukan keselamatan sedang memburu pelaku yang bersembunyi di dalam sebuah pusat beli belah.
Operasi yang diketuai oleh pasukan unit khas polis, Hanuman, itu bagaimanapun, berjaya menyelamatkan puluhan orang awam yang terperangkap di dalam bangunan Terminal 21 tersebut.
Difahamkan, setakat ini pasukan keselamatan berjaya mengawal sepenuhnya empat tingkat terbawah bangunan yang mempunyai 10 tingkat itu.
Sementara itu, Menteri Kesihatan Awam Thailand, Anutin Charnvirakul mengesahkan bahawa 20 mangsa terbunuh dengan 31 lagi tercedera.
Insiden berdarah yang bermula pada petang semalam itu dilakukan oleh seorang anggota tentera, Koperal Jakrapanth Thomma.
Thomma turut memuat naik gambar dan melakukan siaran langsung menerusi akaun media sosial miliknya, namun akaun tersebut telah dinyah aktifkan oleh pengendalinya. – MT