Jepun sahkan kematian pertama akibat COVID-19

0
121
Seorang pengawal keselamatan mengawasi sebuah kapal persiaran yang kini dikuarantin di Yokohama selepas 218 penumpangnya dijangkiti wabak Covid-19

TOKYO – Jepun mengesahkan satu kematian pertama akibat jangkitan COVID-19 berlaku di negara itu semalam, lapor portal berita Channel News Asia.

Menteri Kesihatan, Katsunobu Kato berkata, mangsa tersebut merupakan seorang wanita berusia 80-an yang dirawat di hospital sejak 1 Februari lalu.

Katanya, pada awalnya mangsa didiagnosis menghidap pneumonia namun disahkan menghidap COVID-19 setelah kematiannya.

Pihak berkuasa kesihatan kini menyiasat bagaimana mangsa mendapat virus tersebut, termasuk jangkitan antara manusia.

“Wanita ini disyaki dijangkiti COVID-19, berikutan itu satu ujian telah dijalankan, hasil ujian ini mengesahkan pesakit berkenaan positif COVID-19, namun begitu mangsa tersebut meninggal dunia tidak lama kemudian,” katanya.

Dalam pada itu, mangsa dilaporkan tiada rekod pernah mengunjungi Wuhan atau kontak dengan pengunjung China.

Namun, media tempatan mendakwa wanita itu yang tinggal di wilayah Kanagawa berhampiran Tokyo merupakan ibu mentua kepada pemandu teksi yang baru saja disahkan menghidap jangkitan itu.

Sehingga kini, sebanyak 247 kes jangkitan COVID-19 disahkan berlaku di Jepun.

Jumlah itu termasuk melibatkan 218 kes penumpang sebuah kapal persiaran yang kini dikuarantin di pelabuhan di Yokohama.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here