Jom cuba Nasi Kerabu Mok Su

0
502

CYBERJAYA – Sebut sahaja Warung Nasi Kerabu Mok Su pasti ramai terbayang keenakan pelbagai hidangan yang sinonim untuk sarapan pagi dari Pantai Timur itu.

Terletak di lokasi strategik iaitu laluan pintu satu Putrajaya di Presint 14, warung berkenaan amat popular dan menjadi tumpuan bagi mereka yang ingin mencari kelainan.

Ketika ini hidangan nasi kerabu bukan sahaja menjadi santapan wajib di Pantai Timur pada waktu pagi namun, ia juga digemari masyarakat hampir di kesemua negeri.

Bagi penduduk yang berada di sekitar kawasan Sungai Merab dan Putrajaya, Warung Nasi Kerabu Mok Su ini bukanlah sesuatu yang baharu kerana telah lama beroperasi.

Walaupun telah lama beroperasi, warung yang dibuka bermula pukul 6.30 pagi hingga 1 petang itu tetap ramai dan semakin dikenali sekarang.

Pemilik warung, Mohd. Hapiz Che Hassan berkata, pelanggan mula ramai pukul 7.30 pagi dan kebanyakannya merupakan kakitangan yang bekerja di Putrajaya dan kawasan sekitar.

“Nasi Kerabu Mok Su sedap dimakan bersama aneka lauk yang dibakar seperti kambing bakar, daging bakar dan ayam bakar selain ikan celup tepung, solok lada serta telur masin.

“Selain nasi kerabu, kami sediakan juga menu nasi dagang bersama gulai ikan, gulai itik, gulai ayam, serta bermacam lagi. Tidak ketinggalan juga menu tradisional lain,” katanya.

Tambah menarik katanya, nasi berlauk turut dijual di warungnya dengan pelbagai pilihan lauk seperti gulai ikan, gulai ayam, kerutuk itik, ayam kampung selain ayam goreng.

“Kuih muih tradisi Kelantan juga turut disajikan untuk para pelanggan dan pastinya yang paling popular ialah kuih akok yang saya sendiri sediakan menggunakan resipi turun temurun.

“Nasi kerabu kambing bakar yang popular di sini menggunakan resipi keluarga. Ibu saya juga memiliki kedai makan di Kok Lanas, Kelantan yang turut menjual nasi kerabu,” katanya.

Mengulas pembabitan awal berkecimpung dalam dunia perniagaan, Mohd. Hapiz berkata, beliau bermula secara kecilan dengan menjual kuih akok yang dihantar di kedai sekitar Putrajaya.

“Alhamdulillah sekarang makin berkembang, saya mempunyai dua kedai makan selain turut menerima tempahan dan menjalankan perkhidmatan katering,” katanya.

Dalam pada itu katanya, harga makanan di Warung Nasi Kerabu Mok Su juga sangat berpatutan memandangkan saiz hidangannya agak besar serta sangat menyelerakan.

“Nasi kerabu kambing bakar berharga RM12.00, nasi kerabu daging bakar pula RM7.50 manakala nasi kerabu ayam bakar pula adalah RM7.00.

“Setiap hari kami menggunakan sebanyak masing-masing 35 kilogram daging lembu, kambing dan 30 ekor ayam bakar. Kesemua menu yang dijual kebiasaannya habis dijual menjelang pukul 1 petang,” katanya.

Untuk maklumat lanjut berhubung operasi perniagaan Warung Nasi Kerabu Mok Su yang terletak berhadapan dengan Institut Penilaian Negara itu, orang ramai boleh menghubungi Mohd. Hapiz di talian 013-7294264.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here