CYBERJAYA – Seorang kanak-kanak perempuan berumur empat tahun warga China yang disahkan dijangkiti wabak novel coronavirus 2019 (2019-nCOV) kembali sembuh dan dibenarkan keluar dari Hospital Sultanah Maliha, Langkawi, Kedah, semalam.

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, kanak-kanak tersebut yang disahkan dijangkiti wabak itu pada 29 Januari lalu telah ditempatkan di wad isolasi hospital berkenaan sepanjang tempoh rawatan.
“Dalam tempoh rawatan dan pemantauan ini, sampel klinikal telah diambil semula sebanyak dua kali berturut-turut.
“Hasil ujian pengesanan ulangan 2019-nCoV yang dijalankan ke atasnya sebanyak dua kali ini, telah didapati negatif. Beliau kini berada dalam keadaan sihat dan telah dibenarkan pulang,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Dr. Noor Hisham berkata, kes itu menunjukkan bahawa jangkitan 2019-nCoV boleh dirawat dan pesakit boleh kembali sembuh sepenuhnya, sebagaimana banyak lagi kes lain yang turut dilaporkan di negara China.
Tegasnya, tanggapan ramai bahawa penyakit tersebut pastinya membawa maut kepada mereka yang menghidapnya adalah tidak tepat.
Sementara itu, pihaknya turut mengucapkan tahniah kepada Hospital Sultanah Maliha Langkawi yang telah memberikan rawatan dan pemantauan yang rapi sehingga kanak-kanak tersebut sihat semula dan dibenarkan pulang.MT