Kandungan TV penuh LGBT

0
293
Rancangan kartun yang menjadi tatapan anak-anak kecil kini menjadi platfom agenda mempromosi lgbt.

ANTARA aktiviti menyeronokkan apabila penulis berkelapangan masa adalah menonton. Kemunculan pelbagai platform siaran televisyen seperti tv android dan siaran berbayar memberi lebih banyak pilihan.

Namun menonton karya dari Barat yang diimport ke kaca tv sejak kebelakangan ini lebih banyak mengundang kegelisahan kerana terlalu banyak adegan-adegan yang tidak sesuai untuk tontotan muslim. Lebih janggal lagi ketika menonton bersama keluarga.

Bukan hanya janggal bahkan pada peringkat ini (sekarang), penulis merasakan kandungan tv sudah sampai pada peringkat mudarat yang boleh meruntuhkan asas dan prinsip institusi kekeluargaan jika tidak dikawal sebaiknya.

Saya tidak bercakap mengenai filem-filem berkategori dewasa seperti Game of Thrones dan The Witcher yang mudah diduga mengandungi babak-babak seks tetapi sekarang terlalu banyak rancangan tv terutama di saluran berbayar yang mempamerkan adegan keterlaluan.

Ya, ia bukan isu yang baharu untuk diperkatakan tetapi sedekad lalu ia tidak seteruk dan seterbuka ini. Tidak cukup dengan adegan heteroseksual, hiburan di dalam rumah kita kini rancak menayangkan interaksi Lesbian, Gay, Biseksual, dan Transgender (LGBT).

Jika dahulu kandungan seperti itu hanya boleh ditemui di dalam filem, ia kini perlahan-lahan meresap ke dalam program berbentuk komedi, kekeluargaan malah kartun kegemaran anak-anak kita.

Adegan seperti ini sudah pasti memberi kesan negatif dan menimbulkan kecelaruan kepada kanak-kanak.
Suntikan agenda yang mempromosikan LGBT yang turut dimasukkan dalam rancangan kartun Barbie.

Tujuannya tidak lain adalah sebagai pengiktirafan kepada golongan LGBT dengan memasukkan watak dan pada masa sama menyentuh emosi penonton melalui keberkesanan lakonan.

Babak-babak transgender juga kerap dilihat ‘dineutralkan’ dengan penampilan watak-watak wanita muslim (biasanya pelajar kolej atau rakan sekerja) yang berada dalam kelompok sama, seolah-olah komuniti Islam kini semakin menerima keterbukaan itu.

Walaupun halus, kesannya sudah tentu mengeliru dan menakutkan. Terutama sekali untuk membiarkan anak-anak terdedah dengan hiburan yang dirangka secara sistematik untuk meruntuhkan akhlak dan pertimbangan manusia.

Bagaimanapun di negara ini, usaha membendung LGBT lebih dilihat sebagai perjuangan umat Islam sedangkan tidak ada satu agama di dunia ini yang menghalalkan kesongsangan LGBT. Dan jika ditanya, tidak ada seorang pun yang mahukan anak-anak mereka termasuk dalam golongan itu.

Sama ada kita sedar atau tidak, situasi ini menggambarkan betapa berpengaruhnya gerakan LGBT. Persoalannya bagaimana komuniti yang ‘mewakili’ peratusan yang kecil itu mampu menjadi pelobi yang berpengaruh dalam media Barat. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here