
PEPATAH Arab ada menyebut, ‘akal yang sihat, di dalam badan yang sihat’.
Kesihatan merupakan satu anugerah tidak ternilai daripada Allah, maka seharusnya kita menghargai nikmat tersebut sebaiknya.
Dan kebelakangan ini, makin banyak berita muncul, tak kira dalam media arus perdana mahupun media sosial, mengenai individu yang pada mulanya diketahui sihat, tetapi meninggal dunia secara tiba-tiba akibat penyakit yang tidak dijangka.
Di Malaysia, berdasarkan laporan Perangkaan Sebab Kematian yang dikeluarkan tahun lepas, penyakit jantung iskemik atau Ischaemic heart diseases kekal sebagai sebab kematian utama di Malaysia dengan 18,267 kematian atau 15.6 peratus daripada jumlah kematian yang disahkan secara perubatan pada 2018.
Diikuti oleh pneumonia sebagai penyebab kematian kedua tertinggi dengan 11.8 peratus, penyakit serebrovaskular atau Cerebrovascular diseases (7.8 peratus), kemalangan kenderaan (3.7 peratus) dan Chronic lower respiratory diseases (2.6 peratus).
Laporan tersebut turut mendedahkan, bahawa kematian disebabkan penyakit jantung iskemik meningkat 35.3 peratus berbanding 13,503 kematian pada 2017.
Kini, trend kematian pada usia muda disebabkan penyakit jantung di negara ini semakin hari semakin merisaukan.
Peningkatan kes pesakit jantung pada usia muda iaitu seawal 25 tahun menjadi fenomena yang biasa di hospital dan klinik di seluruh Malaysia.
Fahaman tradisional merumuskan sakit jantung berpunca daripada kencing manis, hipertensi, obesiti, merokok, pemakanan dan disulami dengan gaya hidup yang tidak sihat.
Namun, perubatan moden mengesahkan stress turut mempunyai peranan penting dalam menyebabkan penyakit jantung.
Berdasarkan satu kajian yang diterbitkan dalam Jurnal Perubatan Edaran 2000 berjudul ‘Tekanan Mental Boleh Merosakkan Dinding Dalaman Salur Darah Seseorang’, tekanan yang berpanjangan jika tidak diuruskan dengan baik booleh menyebabkan kerosakan dinding dalam salur darah selama empat jam.
Kerosakan ini, memudahkan kemendapan kolesterol, dan dalam jangka masa panjang, boleh menyebabkan salur darah tersumbat yang boleh mengakibatkan penyakit jantung, tekanan darah tinggi dan strok.
Pengurusan stress bukanlah sesuatu yang mudah, kerana tahap setiap orang adalah berbeza.
Mungkin situasi zaman sekarang, di mana kita semua berlumba untuk menjadi yang terbaik dan ‘terpaling banyak duit’, stress merupakan satu ‘produk sampingan’ yang terbit daripada perlumbaan tersebut.
Demi diri anda sendiri, Cakcibor ingin berpesan, jagalah tahap stress sendiri, dan jaga pemakanan. Tak perlu risaukan perkara-perkara yang kita tak dapat kawal sendiri.
Sendiri mau ingatlah…