Kediaman elit jadi lokasi kegiatan haram

0
302

CYBERJAYA – Empat rumah kediaman di kawasan elit di sini yang dijadikan markas untuk melakukan kegiatan haram oleh sekumpulan warga asing diserbu oleh Jabatan Imigresen, semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, dalam serbuan pukul 11 pagi itu sebanyak 19 warganegara China terdiri daripada 16 lelaki dan tiga wanita serta seorang wanita warganegara Vietnam ditahan. 

Sebanyak 19 rakyat asing yang melakukan kegiatan haram di Cyberjaya berjaya ditahan semalam

“Kesemua mereka berumur antara 18 hingga 55 tahun. Hampir kesemua mereka didapati telah tinggal lebih masa di atas Pas Lawatan Sosial manakala seorang lagi tidak dapat mengemukakan pasport semasa pemeriksaan.

“Jabatan Imigresen percaya serbuan ini juga turut berjaya melumpuhkan sindiket melindungi pendatang asing yang melakukan kesalahan Imigresen dan aktiviti dalam talian dengan penemuan sejumlah tiga unit komputer peribadi, 17 unit komputer riba dan 34 unit telefon bimbit yang disyaki digunakan bagi tujuan tersebut. Kesemua peralatan utu turut dirampas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Salah sebuah kediaman di Cyberjaya yang dijadikan premis kegiatan haram orang rakyat asing

Mengulas lanjut, katanya, semua tahanan itu kini di tempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya bagi tujuan siasatan dan tindakan susulan dibawah Akta Imigresen 1953/63 dan Peraturan-peraturan lain yang berkaitan. 

Susulan tangkapan tersebut, beliau berkata, pihaknya kini sedang mengesan pemilik premis yang telah dikenal pasti bagi membantu siasatan. 

Sementara itu, Khairul turut mengingatkan orang ramai dan majikan supaya tidak melindungi PATI kerana tindakan undang-undang yang tegas akan dikenakan. 

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan PATI digesa supaya tampil menyalurkan maklumat tersebut kepada jabatan ini.-MT

Antara peralatan yang turut dirampas

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here