Kejatuhan harga minyak global beri kesan pada negara

0
195
Prof. Tan Sri Sri Dr. Noor Azlan Ghazalia

CYBERJAYA – Penurunan harga minyak mentah global kepada AS$53.27 setong berbanding AS$68.91 setong pada awal tahun ini dijangka memberi kesan kepada unjuran hasil kerajaan.

Menurut Profesor Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali, ini kerana dalam Belanjawan 2020, kerajaan menganggarkan sumber hasil berkaitan petroleum mencecah RM50.5 bilion dengan andaian harga minyak global sekitar AS$62 setong.

Namun begitu, katanya, keadaan sebaliknya berlaku apabila berlakunya kelembaban ekonomi global dan diburukkan lagi dengan penyebaran wabak coronavirus.

“Kerencatan aktiviti ekonomi China, ekonomi kedua terbesar di dunia, selepas Amerika Syarikat, turut memberi kesan kepada prestasi ekonomi global.

“Malaysia tidak terkecuali. Permintaan minyak dunia menurun menyebabkan tren penurunan harga minyak global.
Pengumuman penurunan harga RON95 daripada RM2.08 kepada RM2.04 sen seliter perlu dinilai dengan lebih berhati-hati,” katanya kepada Malakat Tribune hari ini.

Minggu lalu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penurunan harga runcit petrol dibuat susulan penurunan harga minyak global.

Mengulas lanjut, katanya, bagi kerajaan pula penurunan harga tersebut dijangka memberi kesan kepada cukai petroleum, bayaran royalti minyak dan dividen daripada Petronas yang merupakan tiga sumber hasil utama berkaitan petroleum untuk kerajaan.

Katanya, usaha menurunkan kebergantungan terhadap sumber berkaitan petroleum telah menyaksikan penurunan yang besar daripada kadar 41 peratus pada 2009 kepada 15 peratus pada 2016.

Namun begitu, katanya, bagi mengekalkan keupayaan fiskal, khususnya sebagai ganti kepada hasil cukai barang dan perkhidmatan (GST) yang telah dihapuskan, kebergantungan terhadap sumber berkaitan petrol telah meningkat semula mencecah 31 peratus pada tahun lalu.

“Perubahan harga minyak umpama sebilah pedang, kedua-dua belah tajam. Turun dan naik harga minyak memberi kesan suka dan duka. Faktor-faktor yang menyebabkan penurunan harga dan kesannya ke atas pengguna, industri dan kerajaan perlu dinilai secara keseluruhan bagi memastikan kesan mutlaknya.

“Malaysia mesti menyasarkan untuk menjadi sebuah negara yang efisien dalam penggunaan tenaga. Kebergantungan yang tinggi ke atas minyak fosil, bukan sahaja mewujudkan ketidaktentuan fiskal malah juga turut mencemarkan alam sekitar,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, langkah menjadikan harga minyak lebih murah, tidak semestinya baik sebagai polisi negara.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here