Kem Azmin gesa wujudkan kerajaan rekonsiliasi

0
261
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan 10 lagi ahli Parlimen serpihan PKR mencadangkan diwujudkan kerajaan rekonsiliasi

CYBERJAYA – Kumpulan serpihan PKR yang diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mencadangkan supaya diwujudkan sebuah kerajaan berasaskan rekonsiliasi nasional dengan dipimpin oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad bagi menangani kemelut politik yang berlaku sekarang.

Mohamed Azmin berkata, menerusi langkah tersebut anggota Dewan Rakyat dapat memberikan keutamaan kepada aspirasi rakyat dan agenda nasional.

“Rekonsiliasi ini akan mengendurkan perebutan kuasa di kalangan parti-parti politik dan memungkinkan penggemblengan tenaga untuk menjayakan matlamat bersama dan memupuk kebaikan yang lebih besar untuk negara.

“Rekonsiliasi nasional akan terlaksana di bawah pimpinan Dr. Mahathir bersama dukungan semua pihak yang mahukan Malaysia stabil dan terus maju menangani cabaran bangsa,” katanya dalam satu kenyataan bersama 10 lagi bekas ahli Parlimen PKR yang keluar daripada parti itu Isnin lalu.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin menegaskan, mereka juha mengulangi sokongan penuh terhadap Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri sepenggal penuh untuk melaksanakan rekonsiliasi nasional tersebut.

“Dalam keadaan negara sedang menghadapi tekanan penguncupan ekonomi dunia ke atas ekonomi domestik dan cabaran genting daripada situasi semasa wabak Covid-19, kita mesti bersatu dan memberi sokongan penuh kepada pimpinan Perdana Menteri dengan mengenepikan politik sempit serta menjurus kepada perpaduan nasional yang berpaksikan aspirasi rakyat,” ujarnya.

Dalam pada itu, kumpulan tersebut turut
mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang kekal tenang memerhatikan perkembangan politik yang berlaku dalam negara.

“Rakyat Malaysia menampilkan kematangannya dalam mengharungi arus perkembangannya.

“Meskipun anda mengikuti peristiwa ini dengan teliti dan ghairah melalui media konvensional dan media sosial, anda terus tekun menjalankan tanggungjawab dengan terus ke pejabat, ke kilang, ke ladang dan ke laut seperti biasa,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here