Kematian yang dicemburui, cukupkah amalan kita?

0
1169

Apa Khabar Orang Kita…Isnin lalu, kita dikejutkan dengan pemergian pelawak popular, Allahyarham Abam Bocey atau nama sebenarnya Syed Umar Mokhtar Syed Mohd. Redzuan.

Al-Fatihah (dibaca) dan takziah daripada kami portal Malakat Tribune untuk keluarga Allahyarham Abam Bocey yang telah ‘pergi’ dalam keadaan yang dicemburui banyak pihak.

Rata-rata platform asyik bercerita mengenai segala kebaikan dan ketaatannya sepanjang hayat, sayangnya kepada adik-beradik dan kasihnya beliau kepada ibu tercinta.

Jika diperhatikan dalam laman-laman sosial, ramai yang melontarkan pertanyaan dan hairan melihat begitu ramai orang datang untuk melawat dan sembahyangkan jenazah Allahyarham.

Maka tidak hairan, jika ada yang tertanya-tanya amalan apakah yang Allahyarham lakukan dalam hidupnya sehinggakan dimuliakan Allah pada hari terakhirnya di muka bumi ini.

Ketika majlis pengkebumiannya, ribuan peminat, rakan artis, sahabat handai serta ahli keluarga telah hadir memberikan penghormatan terakhir, semuanya kelihatan hiba.

Beliau bukan ilmuan agama tetapi seorang pelawak. Namun, di pengakhirannya Allah anugerahkan nikmat kematian yang sangat dicemburui itu. Kenapa begitu? Iktibar yang boleh diambil adalah kembali pada akhlak atau perangai arwah. 

Insan ini sememangnya layak kerana sepanjang hayatnya, beliau tidak pernah meninggalkan ibunya, sentiasa mendampingi ustaz dan para ulama selain rajin bersedekah.

Pengakhirannya sempurna itu pasti dicemburui dan menjadi idaman setiap insan. Jadi, sudah cukupkah amalan kita?, hanya Allah sahaja yang dapat menilai dan menentukannya.

Rasulullah bersabda: Ambil lah contoh orang yang telah mati di kalangan kamu. 

Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dan Imam Muslim daripada Saidina Anas Malik RA menyebut bahawa pada suatu hari berlalu satu jenazah di hadapan Rasulullah dan para sahabat yang kemudian memuji kebaikan jenazah tersebut. 
Lalu datang pula seorang lagi jenazah dan mereka menyebut pula tentang keburukannya.

Maka Rasulullah menyebut perkara yang sama seperti sebelumnya, “Wajiblah ia”. 

Kemudian Saidina Umar al-Khattab bertanya apakah yang dimaksudkan oleh baginda dengan pernyataannya itu dan diterangkan baginda bahawa bagi jenazah pertama yang dipuji kebaikannya itu adalah wajib baginya untuk menjadi penghuni syurga, manakala jenazah kedua yang disebut-sebut keburukannya, wajib pula ke atasnya api neraka.

Rasulullah berkata lagi: Sesungguhnya kalian adalah saksi-saksi Allah di atas muka bumi.

Rasulullah berpesan kepada umatnya bahawa salah satu sifat orang yang bijak ialah beramal untuk bekalan yang akan dibawa selepas kematiannya, malah mereka sentiasa bersedia untuk menghadapi kematian pada bila-bila masa. 

Segala ciri-ciri fizikal yang ada pada manusia tidak akan mendatangkan manfaat kepada mereka di alam kubur kelak, tetapi sebaliknya kehidupan setelah mati adalah perkara paling utama. 

Contohnya para sahabat Rasulullah yang syahid ketika di dalam peperangan yang setiap inci pada tubuh mereka mempunyai kesan tikaman, kecacatan dan cedera akibat senjata musuh, namun nilaian kematian mereka begitu tinggi disisi Allah dan merupakan kematian yang dicemburui oleh setiap manusia.

Keadaan kematian yang husnul khatimah atau suul khatimah menjadi nilaian sebenar disisi Allah yang disaksikan pada saat-saat akhir amalan yang dilakukannya.

Tidak menghairankan bagi seseorang yang melakukan amalan kebaikan ketika hidupnya, namun setelah kematiannya dan ketika hampir dimasukkan ke dalam syurga, tiba-tiba Allah memerintahkan dia dimasukkan ke dalam neraka kerana dia pernah beramal dengan amalan ahli neraka. 

Malah sebaliknya manusia yang melakukan amalan kejahatan ketika hidupnya, tetapi pada penghujungnya dia beramal dengan amalan ahli syurga dan apabila menemui ajalnya, dia diperintahkan Allah untuk dimasukkan ke dalam syurga. 

Sesungguhnya manusia yang menemui ajal ketika sedang melakukan solat, berada di dalam majlis ilmu, sedang mendengar khutbah dan sebagainya, merupakan di antara contoh-contoh kematian yang dicemburui.

Walaubagaimanapun manusia tidak seharusnya bersangka buruk terhadap kematian mereka yang sebaliknya, contohnya kematian Saidina Khalid al-Walid yang merupakan pahlawan Islam tersohor yang menemui ajalnya bukan di medan perang tetapi di atas tempat tidurnya. 

Peristiwa ini berlaku sebagai pengajaran daripada Allah kepada umat manusia agar mereka menilai sendiri amalan yang dilakukan sebagai bekalan untuk kembali menghadap Allah kelak.

Malah kematian yang dicemburui boleh berlaku kepada sesiapa sahaja yang dikehendaki oleh Allah dan bergantung terhadap amalan yang dilakukan ketika hidupnya.

Tetapi manusia yang meninggal dunia di dalam keadaan yang buruk walaupun amalan awal hidupnya baik, selalunya berpunca daripada niat asal atau lintasan hatinya apabila melakukan kebaikan yang bermasalah.

Oleh itu, untuk memastikan agar amalan kebaikan yang dilakukan berkekalan sehingga ke penghujung hayatnya, maka niat haruslah dijaga agar sentiasa bersih daripada sebarang penyakit hati. 

Semoga bermanfaat.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here