Kemelut pasca PRU14 beri kesan ekonomi negara

0
169

CYBERJAYA – Ketidaktentuan polisi akibat daripada kemelut politik dalam negara sejak Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu dilihat antara faktor yang mempengaruhi prestasi buruk ekonomi negara

Menurut Profesor Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali, secara asasnya prestasi ekonomi sesebuah negara itu dapat dilihat melalui prestasi pasaran saham yang mengandungi maklumat mengenai masa akan datang.

Namun begitu katanya, disebabkan tiada kestabilan dan hala tuju yang jelas menyebabkan pelabur menarik diri.

“Pelabur memerlukan ketentuan polisi dan arah tuju ekonomi yang jelas dan komitmen yang tinggi daripada kerajaan, industri dan masyarakat.

“Kita perlukan kestabilan dan halatuju yang jelas. Apa lagi dalam menghadapi ketidakstabilan dan kelembapan ekonomi global. Ini ehwal ekonomi negara, bukan ehwal politik. Ekonomi tidak mengenal siapa. Sekali melanda, semua kena,” katanya kepada Malakat Tribune

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai prestasi Bursa Malaysia yang terus menurun sejak dua tahun lalu.

Beliau berkata, menyorot semula kedudukan pasaran saham sekitar dua tahun yang lalu, pencapaian tertinggi ialah pada 19 April, 2018 iaitu apabila indeks KLCI mencecah 1,887.75.

Bagaimanapun, secara keseluruhan, sejak dua tahun lalu, sehingga 28 Januari lalu prestasi bursa berada dalam tren menurun yang jelas yang mana paras KLCI hanya mencecah 1,550.47 atau kejatuhan 337.28 mata bersamaan dengan 17.87 peratus.

“Pretasi pasaran saham adalah antara petunjuk penting prestasi ekonomi. Terkandung dalam prestasi pasaran saham adalah maklumat mengenai masa akan datang.

“Umumnya, apabila prestasi ekonomi dijangka lebih baik, harga saham akan meningkat dan sebaliknya sekiranya ekonomi dijangka lembab. Ianya merupakan satu daripada tujuh ukuran yang membentuk ‘leading indicator’ yang diukur oleh Jabatan Perangkaan,” jelasnya.

Tambahnya, sebagai sebuah negara ekonomi kecil dan terbuka, ekonomi Malaysia adalah terdedah kepada prestasi ekonomi global.

Lebih memburukkan keadaan, katanya, apabila berlakunya kelembaban ekonomi global, perang dagang Amerika Syarikat dan China, ketegangan geo-politik rantau Asia Timur, Brexit dan terkini wabak coronavirus.

“Tiada petanda pemulihan yang kukuh. Semua ini menjejaskan prestasi ekonomi Malaysia. Persoalan yang perlu dijawab ialah, disamping prestasi ekonomi global yang di luar kawalan kita, adakah prestasi pasaran saham ini juga turut membayangkan prestasi ekonomi domestik?

“Di rantau Asia Tenggara, Singapura merupakan negara yang paling terdedah dengan ekonomi global. Setiap kali ada kelembaban ekonomi global, Singapura merupakan negara yang pertama dikesani. Melihat kepada prestasi pasaran saham Singapura dalam tempoh yang sama, pasaran saham Singapura juga jatuh, namun kejatuhannya ialah sebanyak 10.56 peratus, Indonesia, sebuah negara yang ekonomi domestiknya paling besar di Asia Tenggara kejatuhan pasaran sahamnya hanya sekitar 8.64 peratus dalam tempoh yang sama,” ujarnya.

Katanya, jika dibanding dengan negara-negara tersebut, prestasi ekonomi Malaysia yang paling terjejas.

Noor Azlan berkata, ini menandakan bahawa setelah faktor global diambil kira, terdapat faktor-faktor domestik yang lebih khusus yang menjejaskan pasaran saham Malaysia. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here