Kerajaan negeri Selangor kekal di bawah PH

0
184
Datuk Seri Amiruddin Shari (dua dari kiri) bergambar bersama Sultan Selangor selepas menghadap baginda di Istana Kayangan, pagi tadi

CYBERJAYA – Kerajaan negeri Selangor kekal diteraju oleh empat parti politik yang membentuk Pakatan Harapan (PH) sebelum ini meskipun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengumumkan keluar daripada pakatan politik itu semalam.

Menurut Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, keputusan tersebut diambil selepas beliau bersama Pegerusi DAP Selangor, Gobind Singh Deo dan Pengerusi Amanah Selangor, Izham Hashim menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Kayangan, pagi tadi.

“Duli Yang Maha Mulia Tuanku telah berpuas hati dengan penjelasan bahawa kerajaan sedia ada ingin meneruskan komitmen bagi merealisasikan mandat rakyat Selangor pada pilihan raya umum 2018 yang lepas dan Tuanku memberi perkenan agar pentadbiran kerajaan negeri berfungsi dan berjalan seperti biasa,” katanya dalam laman Facebook miliknya hari ini.

Terdahulu, Amiruddin tiba di Istana Kayangan pada pukul 8.50 pagi dengan kenderaan rasmi bagi berbincang dengan Sultan Selangor berhubung situasi politik semasa negara yang turut membabitkan pentadbiran negeri.

Dalam pada itu, katanya, satu pertemuan bersama Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari juga telah diadakan bagi membincangkan hala tuju Selangor.

“Setelah pertemuan tersebut, kami sepakat untuk terus berkerja bersama dan menjamin kestabilan kerajaan negeri.

“Justeru pentadbiran ini berikrar untuk kekal menghormati mandat rakyat bagi melaksanakan agenda yang bermanfaat untuk negeri dan rakyat Selangor seluruhnya,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here