Kring! ‘tawan hati’ Puteri Diraja Kemboja

0
562

CYBERJAYA – Ingatkan juri rupanya kerabat Diraja Kemboja!

Itu antara kejutan diterima oleh Pengarah Anugerah Filem Pendek Animasi Terbaik, Kring!, Muhamad Hilmi Ismail apabila beliau didekati seorang wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai ‘Setiausaha kepada Raja Kemboja’.

Menurut Muhamad Hilmi, beliau terkejut apabila kerabat diraja itu mahu menunjukkan filem animasinya kepada Raja Kemboja.

“Wanita itu perkenalkan diri sebagai ‘Setiausaha kepada Raja Kemboja’. Beliau menyatakan sangat suka dengan cerita Kring! Dan akan tunjukkan filem itu pada Raja bagi negara Kemboja.

“Bila balik saya buat sedikit penyelidikan tentang siapa beliau sebenarnya. Rupanya beliau bukan semata-mata ‘Setiausaha’, tetapi Puteri Raja!,” katanya dalam akaun status Facebook miliknya hari ini.

Tambah Muhamad Hilmi, Puteri Diraja Kemboja itu adalah Puteri Sylvia Sisowath yang merupakan antara juri bagi kategori Filem Pendek Animasi dan beliau yang mengumumkan kemenangan Kring! Ketika Festival Antarabangsa Du Film Sur Les Handicap 2020 (FIFH 2020) di Perancis, semalam.

“Terima kasih Puteri Sylvia Sisowath atas pengiktirafan dan penghargaan terhadap filem pendek animasi ini. Diharap dapat bertemu lagi,” katanya.

Kring! Yang memenangi Anugerah Filem Pendek Animasi Terbaik FIFH 2020 diterbitkan oleh Brainy Bones Studios memaparkan watak Cikgu Suraya yang merupakan seorang guru sekolah berdedikasi tinggi dan setiap hari membantu muridnya di sekolah.

Menerusi filem itu, Cikgu Suraya menghadapi cabaran membantu seorang muridnya yang mempunyai masalah dengan pembelajaran serta memiliki imaginasi berbeza berbanding pelajar lain menerusi lukisan dihasikannya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here