
CYBERJAYA – Lebih 30 peniaga dari seluruh negara hadir pada sesi pertama pengundian tapak perniagaan Karnival Raya Malakat Mall di sini hari ini.
Pengurus Malakat Mall, Farah Hazwani Amir Hashim berkata, karnival yang akan dibuka pada 15 Mac hingga hari terakhir puasa itu merupakan sebahagian daripada program pra-pelancaran pasar raya berkenaan.
Beliau berkata, kira-kira 100 lot bazar disediakan kepada peniaga di aras dua bangunan Malakat Mall yang akan menempatkan pelbagai jenis perniagaan bertemakan sambutan Hari Raya.
“Berbeza dengan tawaran tapak perniagaan biasa, di Malakat Mall ini peniaga tidak dikenakan sewa tapak tetapi berkongsi pendapatan sebanyak 10 peratus dengan pihak pengurusan.
“Karnival ini juga akan menggunakan kaedah pembayaran tanpa tunai melalui Raudhah Pay,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Farah berkata, orang ramai yang berminat untuk berniaga dalam karnival berkenaan masih boleh memohon dengan menghubungi pihak pengurusan Malakat Mall.
Sementara itu, peniaga, Ramlan Muhammad Saad berkata, penglibatan beliau dalam karnival itu merupakan sebahagian daripada ‘jihad ekonomi’ untuk menjayakan eko sistem Islam.
“Saya lihat usaha yang dilakukan oleh Malakat Mall ini memerlukan sokongan daripada umat Islam di negara ini.
“Saya juga harap kewujudan pasar raya ini dapat menjadi pusat perniagaan baharu di Cyberjaya yang dipelopori umat Islam,” kata pengurus syarikat penganjuran acara perkahwinan, Ramsa Touch itu.

Pengasas Cupcake Apparel, Siti Zalina Muhammad Husain berkata, peluang bertapak di pasar raya berkonsepkan Islam itu diharap dapat membuka lebih banyak peluang kepada dirinya dan peniaga bumiputera di negara ini.
“Saya datang hari ini untuk mendapatkan lot perniagaan dan jika sambutan baik, saya akan mempertimbangkan untuk membuka premis tetap di Malakat Mall,” katanya.

Siti Zalina merupakan peniaga fesyen wanita, baju kurung, batik dan tudung bawal dari Terengganu.
Bagi pengusaha Jamu Aura Kasih, Mashitah Othman, penyertaan beliau dalam karnival itu adalah untuk meneruskan momentum kempen Beli Barang Muslim Dahulu (BMF)
“Saya harap sumbangan kecil saya ini dapat melonjak kempen BMF dalam memperkasakan ekonomi masyarakat Islam,” katanya. -MT
