Lebih 300 ‘pendekar Melayu’ serah memorandum di Istana Negara

0
445

CYBERJAYA – Cuaca tidak menentu di ibu kota tidak menghalang lebih 300 peserta berhimpun untuk menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara hari ini.

Himpunan yang dianjurkan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (Pembela) itu bertujuan memohon campur tangan baginda berkaitan dakwaan penghinaan terhadap institusi raja, Melayu dan Islam.

Seawal pukul 8 pagi, peserta yang kebanyakan segak mengenakan baju Melayu serta bertanjak seperti pendekar mula berhimpun dan bersiap sedia di hadapan Masjid Wilayah Persekutuan.

Memetik laporan portal Malaysiakini, mereka juga kelihatan mengibar bendera yang tertera tulisan seperti “Patuhi Rukun Negara”, “Komunis adalah Pengganas” dan “Menjunjung Titah Tuanku”.

Sebelum ke Istana Negara, Timbalan Presiden Pembela, Masrizi Sad memaklumkan kepada peserta bahawa tiada perarakan diadakan susulan tidak mendapat kebenaran pihak polis.

“Kita tidak akan berarak tetapi akan menaiki kereta sendiri diiringi pihak polis di sana,” katanya.

Selesai memberi taklimat tepat pukul 11.15 pagi, peserta mula menaiki kereta masing-masing untuk ke Istana Negara.

Bagaimanapun, hanya tiga wakil dibenarkan masuk, manakala peserta lain menunggu di hadapan pagar istana.

Selepas kira-kira 40 minit, ketiga-tiga wakil berkenaan keluar dari istana dan disambut oleh peserta perhimpunan yang menanti di luar.

Turut kelihatan ialah Setiausaha Sulit Kanan Yang Di Pertuan Agong, Kolonel Nazim Mohd. Alim.

Menurut Masrizi, memorandum berkenaan diserahkan kepada Kolonel Nazim untuk disampaikan kepada baginda.

“Kita hantar memorandum kerana cubaan pihak tertentu yang jelas menolak kedaulatan Raja Melayu serta agama dan ini termasuk perkara dalam isu tulisan Jawi dan komunis yang baru berlaku, ia mengancam keselamatan negara,” katanya.

Ditanya sama memorandum yang sama akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Dr.Mahathir Mohamad, Masrizi menjelaskan pihaknya akan melihat keadaan dahulu.

“Kerajaan pun sekarang dalam keadaan tak tentu, mereka pun ada masalah sesama sendiri, bagaimana nak mengadu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Gabungan Pertubuhan Silat Pertahan Perlembagaan (Pertahan), Sahruddin Esa berkata NGO itu juga sedang mengkaji kemungkinan menyerahkan memorandum kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Isu komunis yang ditimbulkan sebelum ini bermula di Kajang,” katanya yang merujuk kepada dakwaan pertemuan membabitkan bekas anggota Parti Komunis Malaya (PKM) pada Disember tahun lalu di Kajang.

Sebelum ini, isu pembelajaran Jawi memanaskan iklim politik Malaysia apabila cadangan Kementerian Pendidikan untuk memperkenalkannya dalam buku teks murid tahun 4 termasuk di sekolah jenis kebangsaan Cina ditentang oleh pertubuhan pendidikan Cina.

Isu komunis pula muncul semula apabila beberapa pihak membawa pulang abu mendiang pemimpin PKM, Chin Peng dari Thailand untuk disemadikan di negara ini.

Untuk rekod, sebelum ini, Pembela menangguhkan himpunannya atas nasihat polis disebabkan tarikh yang dikemukakan jatuh pada hari sambutan Hari Wilayah dan Thaipusam.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here