Liridon Krasniqi kini warga Malaysia, bakal sarung jersi Harimau Malaya

0
304

CYBERJAYA – Bekas pemain sensasi pasukan Kedah, Liridon Krasniqi kini sah menjadi warganegara Malaysia sekali gus bakal menjadi pemain naturalisasi kedua skuad kebangsaan Harimau Malaya.

Menurut Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam, pemain tengah dari Kosovo itu sah memperoleh kewarganegaraan Malaysia melalui penaturalisasian selepas menerima kad pengenalan MyKad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Putrajaya hari ini.

Liridon Krasniqi menunjukkan MyKad miliknya selepas mengangkat sumpah di JPN hari ini

“Dengan memperoleh MyKad dan bergelar warganegara Malaysia, Liridon yang genap berusia 28 tahun pada 1 Januari lalu kini selangkah sahaja lagi untuk layak menyarung jersi skuad kebangsaan, Harimau Malaya selaku pemain naturalisasi iaitu hanya menunggu kelulusan akhir daripada Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

“FAM akan menghantar segera dokumen terbaharu berkaitan kelulusan dan pengesahan Liridon sebagai warganegara Malaysia ini kepada FIFA bagi melengkapkan proses dokumentasi yang diperlukan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebelum ini, pemain Pahang, Mohamadou Sumareh menjadi pemain naturalisasi pertama skuad Harimau Malaya selepas Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin mencetuskan idea tersebut ketika hari pertama beliau memegang jawatan tersebut pada 14 Julai 2018.

Liridon Krasniqi berjabat tangan bersama Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam

Sementara itu, Ramalingam turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta para pegawai dari Kementerian Dalam Negeri yang telah banyak membantu sepanjang proses tersebut. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here