
CYBERJAYA- Kumpulan militan, Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) masih dikategorikan sebagai kumpulan pengganas dan kerajaan tidak berhasrat untuk menggugurkan kedudukan kumpulan itu.
Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, Peguam Negara juga tidak mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan dan bidang kuasa Menteri Dalam Negeri.
“Saya ingin menegaskan penyenaraian LTTE sebagai kumpulan pengganas adalah tertakluk kepada kuasa Menteri Dalam Negeri yang diperuntukkan bawah undang-undang.
“Peguam Negara tidak mempunyai apa-apa kuasa di bawah undang-undang untuk mencampuri urusan yang berada di bawah bidang kuasa Menteri Dalam Negeri.
“Selain Malaysia, beberapa buah negara lain turut mengisytiharkan dan mengekalkan LTTE sebagai kumpulan pengganas dalam senarai negara masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Thomy Thomas, memutuskan tiada prospek yang jelas untuk sabitan terhadap 12 tertuduh dalam mana-mana 34 pertuduhan dan bertindak memberhentikan prosiding terhadap mereka berkuat kuasa serta-merta.
Tambah Muhyiddin, kumpulan berkenaan dipercayai masih mempunyai ideologi yang boleh menimbulkan ancaman terhadap keselamatan awam dan keselamatan negara.
Bahkan katanya, beberapa negara di dunia seperti India, Kanada, Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK) masih terus menetapkan dan mengisytiharkan LTTE sebagai kumpulan pengganas.
“Penyenaraian entiti itu adalah berdasarkan maklumat perisikan dan keselamatan terkini yang diterima daripada pihak berkuasa seperti polis dan lain-lain agensi kawal selia atau pengawasan yang berkaitan.
“Menjadi tanggungjawab pihak berkuasa untuk mengambil tindakan mengikut saluran undang-undang bagi membendung sebarang bentuk penyebaran idelogi dan kegiatan yang berkaitan dengan kumpulan ini,” katanya.
Sebelum ini, 12 individu yang menyokong LTTE ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) dan ditempatkan di Penjara Sungai Buloh sementara menunggu perbicaraan.
Mereka antaranya menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dalam suatu majlis, memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam media sosial dan pertuduhan memiliki, mengedar dan memaparkan bahan-bahan berkaitan LTTE.-MT