LTTE: Peguam Negara langgar kuasa KDN

0
198
Sebahagian 12 anggota LTTE yang dituduh di mahkamah sebelum ini

CYBERJAYA – Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) terkejut dan kecewa dengan keputusan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang menghentikan tiga puluh empat pertuduhan terhadap 12 orang tahanan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang dijadual dibicarakan tidak lama lagi.

Menurut Presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, meskipun Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kuasa Peguam Negara memulakan, meneruskan atau memberhenti sesuatu tindakan jenayah di mahkamah, kuasa tersebut perlu dilaksanakan secara kehakiman.

Katanya, sebagai seorang penjawat awam, Peguam Negara perlu memberi pertimbangan kepada keselamatan negara, kepentingan dan keselamatan awam serta perhatian media.

“Pertimbangan-pertimbangan tersebut perlu dibuat secara telus berdasarkan faktor-faktor di Malaysia bukan negara asing seperti Australia, Eropah ataupun Sri Lanka.

“Malah Peguam Negara mesti memberi pertimbangan serius kepada pandangan yang diberikan oleh pihak polis yang merupakan penjaga keselamatan dalam negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Peguam Negara memutuskan membebaskan 12 tahanan LTTE termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek yang juga Pengerusi Jawatankuasa (EXCO) Perpaduan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, G Saminathan, 34; ADUN Seremban Jaya, P Gunasekaran, 60 daripada pertuduhan mahkamah.

Mengulas lanjut, katanya, sehingga kini tiada langsung kenyataan daripada pihak polis menyatakan LTTE bukan lagi isu keselamatan negara dan pergerakan itu masih tersenarai sebagai pertubuhan pengganas di Malaysia.

“Tindakan Peguam Negara ini telah melangkaui kuasa eksekutif Kementerian Dalam Negeri yang menyatakan LTTE adalah pertubuhan pengganas. Peguam Negara tidak diketahui pernah memberi nasihat kepada Menteri Dalam Negeri mengeluarkan LTTE daripada senarai ini sebelum daripada ini tetapi terus secara unilateral membuat kesimpulan LTTE bukan pertubuhan pengganas.

“Malah Peguam Negara juga gagal menzahirkan kepada awam di dalam kenyataannya bahawa pihak polis menyokong keputusan beliau. Hal ini sangat serius kerana melibatkan keselamatan negara. Adakah keputusan Peguam Negara tersebut membawa implikasi kesemua tahanan Daesh juga perlu dilepaskan?,” ujarnya.

Sehubungan itu, Zainul Rijal berkata, kesan daripada tindakan Peguam Negara itu kini menimbulkan beberapa persoalan lain seperti adakah keputusan itu disebabkan penolakan Hakim Mahkamah Tinggi terhadap cabaran kepada keabsahan seksyen 13 SOSMA di sisi Perlembagaan Persekutuan dan keputusan menolak ikat jamin orang kena tuduh (OKT) kes LTTE.

“Timbul juga persoalan samada berlaku salahguna kuasa dalam jawatan awam daripada keputusan tersebut. Seterusnya kemampuan Peguam Negara menjalankan tugas, peranan dan tanggungjawab sebagai Pendakwa Raya juga turut boleh dipersoalkan,” tegasnya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya berpandangan tindakan mahkamah perlu dibuat oleh mana-mana pihak berkepentingan bagi mencabar keputusan Peguam Negara sebagai isyarat kepada Peguam Negara tidak sewenang-wenangnya menggunakan kuasa yang ada tanpa pertimbangan undang-undang yang betul.

“Tindakan Peguam Negara ini dan beberapa siri tindakan beliau sebelum ini menzahirkan ketidakmampuan beliau menggalas tanggungjawab sebagai Peguam Negara dan Pendakwa Raya. Pada hemat PPMM adalah lebih baik beliau mengundurkan diri dari jawatan tersebut secara terhormat.

“Sekiranya beliau enggan, PPMM merafak sembah kepada Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri agar menggantikan Peguam Negara yang lebih berkemampuan dan telus di dalam melaksanakan tanggungjawabnya,” katanya. -MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here