Mediu tawar belajar dalam suasana negara Arab

0
204

CYBERJAYA – Universiti wakaf tempatan, Universiti Antarabangsa Al-Madinah (Mediu) menawarkan sebanyak 500 tempat kepada pelajar berstatus lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) untuk pengambilan peringkat Sarjana Muda pada sesi Februari tahun ini.

Sesi pendaftaran semester baharu itu bakal berlangsung di kampus baharu Mediu yang terletak di Dataran Hexa, Desa Petaling, Kuala Lumpur bermula pada 27 hingga 29 Februari ini dan di Masjid Al-Karamah Baung Besar, Panji, Kota Bharu pada 22 Februari ini bermula dari pukul 9 pagi hingga 4 petang.

Ketua Eksekutif Mediu, Prof. Madya Dr. Fadlan Mohd. Othman berkata, lepasan STAM dan STPM yang berminat menyambung pengajian di peringkat ijazah sarjana muda, dialu-alukan untuk mendaftar MEDIU dengan mengisi borang secara dalam talian menerusi laman sesawang www.mediu.edu.my.

“Selain mendaftar secara dalam talian para pelajar juga boleh mendaftar secara langsung dengan pegawai Mediu sambil mendapat maklumat pengajian daripada pensyarah.

“Suasana untuk pengajian Islam dan Bahasa Arab adalah kondusif di Mediu memandangkan ramai pensyarah dari negara Arab dan bertutur dalam bahasa Arab,” katanya kepada Malakat Tribune di sini hari ini.

Fadlan menambah, selain pengajian Islam dan bahasa Arab, Mediu juga menawarkan pengajian dalam bidang Kewangan dan Pengurusan Perniagaan; Kejuruteraan; Komputer dan Teknologi maklumat serta pendidikan melalui program ijazah sarjana muda, sarjana dan doktor falsafah (PhD).

Beliau menambah, hari pendaftaran terbuka Mediu tersebut adalah bertujuan memberi peluang kepada anak Malaysia agar dapat melangsungkan impian mereka menyambung pengajian di peringkat menara gading sebagai persiapan membina jati diri, berwawasan dan berdaya saing pada abad ini.

“Mediu sejak ditubuhkan di negara ini pada tahun 2007 hasil kerjasama kerajaan Arab Saudi dan Malaysia telah mencapai perkembangan memberangsangkan menepati status bertaraf antarabangsa dengan pelajar dari 90 buah negara dan mempunyai 97 kursus akademik iaitu 93 daripadanya telah memperoleh akreditasi penuh dari Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).

“Mediu berasa sangat berbangga dan bertuah menjadi sebahagian dari agensi yang berperanan merealisasikan cita-cita kerajaan Malaysia ‘Mengantarabangsakan Pengajian Tinggi’ selaras dengan visi kerajaan untuk menjadikan Malaysia Pusat Kecemerlangan Pengajian Tinggi di peringkat dunia, “katanya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here