Melahirkan jaguh bola sepak

0
385

RAUDHAH CITY – Akademi Bola Sepak Brainy Bunch (BBFA) bakal menjadi landasan terbaik untuk mendidik kanak-kanak mengenali selain meminati sukan bola sepak.

Pengasas The Sekolah Bola, Muhamad Yazid Yahaya berkata, hasrat itu mampu dicapai dengan pihaknya memberi sokongan kepada kelab bola sepak itu untuk berada di peringkat lebih tinggi.

“Matlamat utama adalah ingin membangunkan aspek insaniah kanak-kanak di samping menjadikan BBFA sebagai satu pusat tumpuan dunia untuk peminat sukan bola sepak datang menyertai perlawanan, program dan sebagainya.

“Kami hadir untuk bantu melahirkan pelapis pemain bola sepak bertaraf dunia. Bagaimanapun kita juga bakal beri peluang kepada orang luar kerana satu misi kita juga untuk mewujudkan sebuah pusat kemudahan sukan bola sepak yang terbaik di  sini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik gabungan BBFA bersama organisasi Tigre Football dan The Sekolah Bola di Kompleks Brainy Bunch di sini semalam.

Majlis MoU tersebut juga menyaksikan kedua-kedua pihak mencapai persetujuan untuk berkongsi platform dan menggalakkan kerjasama dalam bidang tertentu.

Kerjasama itu juga dicapai selepas mengambil kira kemampuan dan kemahiran kedua-dua pihak yang berpengalaman luas dalam pengurusan dan latihan bola sepak.

Tambah Muhamad Yazid, pada masa sama idea berkolaborasi bersama Brainy Bunch adalah membina serta membentuk pemain atau seseorang melalui program di bawah kelolaannya.

Katanya, antara aspek utama difokuskan termasuklah melahirkan kanak-kanak yang mempunyai mentaliti seorang atlet, sikap sebagai pemenang dan pakej kemahiran seorang jaguh.

“Perancangan dalam masa terdekat kita mahu memberi pendidikan kemahiran bola sepak, pendidikan insaniah dan The Sekolah Bola sendiri akan menggabungkan semua kanak-kanak dari pelbagai latar belakang menjadi pemain bola sepak yang mempunyai kelebihan itu.

“Kita hendak mencambahkan nilai-nilai murni dalam sukan bola sepak kerana ia ada kaitan dengan program berbentuk islamik di sini,” katanya.

Mengulas mengenai gabungan itu juga, beliau berharap usahasama tersebut dapat ketengahkan bakat kanak-kanak ini melalui platform rancangan televisyen seperti di TV alHijrah.

Menurut beliau, The Sekolah Bola akan dipertanggungjawab menyediakan latihan teknikal manakala Tigre Football dilantik sebagai operator yang akan menguruskan padang dan penganjuran acara. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here