MMA puji kecekapan KKM kendali Covid-19

0
155
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) memuji kecekapan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam mengendalikan Covid-19 di negara ini.

Presidennya, Dr N. Ganabaskaran berkata tindak balas pantas KKM dalam usaha pengawasan dan kawalan penyakit berjangkit selain penyediaan laporan dari semasa ke semasa berkaitan penularan wabak di Wuhan, China ketika ia pertama kali muncul, telah dengan ketara mengawal dan mengehadkan jumlah jangkitan itu di Malaysia setakat ini.

“Biarpun jumlah jangkitan berkurangan, penting untuk rakyat Malaysia terus berwaspada terhadap jangkitan dan sentiasa mengamalkan kebersihan peribadi dan pernafasan yang baik bagi mengurangkan jangkitan.

“Ini bukan sahaja perlu dipatuhi ketika di dalam negara, tetapi juga semasa melancong ke luar negara,” katanya pada sidang media berkaitan kesedaran terhadap Covid-19 dipetik Bernama hari ini.

Yang turut hadir adalah bekas Timbalan Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr. Christopher Lee dan Presiden Persatuan Gabungan Pengamal Perubatan Malaysia (MPCAM), Dr Raj Kumar Maharajah.

Sementara itu, Dr Lee turut menekankan perlunya Malaysia bersedia dengan jangkitan tempatan terhad Covid-19 seperti dihadapi negara-negara jiran.

“Tidak seperti beberapa negara seperti Jepun dan Korea yang merekodkan kes jangkitan tempatan, semua kes di Malaysia mempunyai kaitan dengan pelancong dari luar negara. Jadi, kita perlu bersedia untuk perkara seperti itu berlaku di sini juga,” katanya.

Dr Lee juga berkata beberapa langkah kawalan jangkitan yang khusus perlu diambil dalam persekitaran klinik kerana Covid-19 berjangkit menerusi titisan dan jangkitan kontak.

“Kami menasihatkan dan percaya semua kakitangan klinik akan dibersihkan dengan disinfeksi biasa, terutamanya permukaan yang kerap disentuh, sebaik sahaja pesakit beredar.

“Ini langkah terbaik melindungi doktor dan jururawat daripada dijangkiti penyakit itu kerana mereka adalah petugas di barisan hadapan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here