
KUALA LUMPUR – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mahu rakyat negara ini menerima keputusan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke lapan.
Beliau turut melahirkan rasa syukur dan menjunjung rasa terima kasih kepada pihak Istana Negara atas perlantikan yang mengakhiri kemelut politik negara sejak lima hari lalu.
“Saya menjunjung kasih di atas perkenan Yang di-Pertuan Agong dan sebab itu saya ingin ucapkan terima kasih kepada semua yang memberi sokongan moral kepada saya.
“Kita telah pun berisitiqamah untuk menyatakan syukur atas anugerah diberikan Allah kepada saya,” katanya dalam sidang media di kediamannya, hari ini ini.
Sebelum itu, bekas Timbalan Perdana Menteri yang disingkirkan dari UMNO dalam krisis 2016 itu tular di laman sosial melakukan sujud syukur sejurus selepas pengumuman Perdana Menteri baharu itu dibuat.
“Saya hanya memohon untuk seluruh rakyat Malaysia menerima baik keputusan diumumkan Istana Negara hari ini.
“Saya dimaklumkan bahwa majlis mengangkat sumpah, ikut makluman diberitahu akan diadakan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada pagi esok jam 10.30,” katanya lagi. MT
