Muhyiddin Yassin dilantik Perdana Menteri kelapan

0
269

CYBERJAYA – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan selepas beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, pelantikan itu juga selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara (43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Setelah mendapat representasi daripada semua ketua-ketua parti politik yang mewakili parti masing-masing serta ahli Dewan Rakyat yang bebas, pada hemat Seri Paduka Baginda, ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat ialah Tan Sri Mahiaddin Md Yassin (Muhyiddin), Ahli Parlimen Pagoh,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan dengan pelantikan itu, katanya, satu majlis Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri akan dibuat pada esok pukul 10.30 pagi di Istana Negara.

Katanya, Seri Paduka Baginda juga bertitah bahawa proses pelantikan Perdana Menteri tidak boleh dilengahkan kerana negara memerlukan kerajaan demi kesejahteraan rakyat dan negara tercinta.

Tambahnya, Seri Paduka Baginda turut bertitah bahawa ia adalah keputusan terbaik untuk semua dan baginda menzahirkan harapan agar kemelut politik tersebut berakhir.

“Seri Paduka Baginda turut menzahirkan penghargaan dan terima kasih kepada rakyat dan semua yang terlibat khususnya agensi-agensi kerajaan, keselamatan dan pihak media.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here