Munafik politik

0
208

ORANG kata politik ini boleh berubah-ubah. Itu bahasa lembut atau bahasa ‘cover’ sahaja. Tetapi kalau dalam bahasa kasarnya orang akan panggil sebagai ‘munafik politik’.

Baru semalam ‘puak-puak’ PKR mengumumkan mereka akan menyokong Tun Dr. Mahathir Mohamad untuk jadi Perdana Menteri tetapi kenyataan mereka hari ini melalui Setiausaha Agung PKR bahawa ahli-ahli Parlimen mereka menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri pula. Ini memang sukar untuk difahami oleh orang yang ada prinsip dan waras.

Bagi saya, ini adalah satu penipuan yang nyata terhadap rakyat secara amnya dan kepada Tun Dr. Mahathir secara khususnya. Apakah pemimpin dengan akhlak sebegini wajar diangkat untuk memimpin negara? Apakah kuasa adalah segala-galanya dan bukannya kepentingan rakyat yang sepatutnya harus diutamakan?

Saya tidak kisah kalau mereka ‘gila’ sangat pada jawatan tetapi janganlah menipu dan menunjukkan sifat ‘munafik politik’. Di depan kata setuju pada Tun tetapi senyap-senyap jumpa Agong dan menamakan orang lain sebagai Perdana Menteri. Ini bukan ‘seni politik’, tetapi ‘seni menipu’.

Pada saat-saat kritikal ini, saya minta sungguh-sungguh agar semua ahli-ahli Parlimen bercakap benar dan ikhlas serta tegas dalam pendirian. Janganlah kelirukan rakyat yang tidak bersalah ini. Kestabilan negara harus diutamakan, bukannya kepentingan individu. Bercakap benarlah dan jangan jadikan penipuan sebagai budaya dalam berpolitik.

Rakyat kini menyerahkan sepenuhnya pada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk membuat keputusan. Rakyat akan menjunjung titah serta mendoakan agar Allah memberikan taufik dan keberkatan kepada Tuanku dalam membuat keputusan. Insya-Allah.

Semoga semuanya selesai dengan aman. Ameen

AMINUDDIN YAHAYA
Presiden Ikatan Muslimin Malaysia dan Pengerusi Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam

*Penafian: Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mencerminkan pendirian Malakat Tribune

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here