Orang ramai cekup perompak kedai emas

0
173
Shamsul Amar Ramli

SHAH ALAM – Tindakan pantas orang awam berjaya memberkas salah seorang daripada dua suspek yang melakukan rompakan kedai emas di pusat beli-belah di Bukit Tinggi, Klang dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, ACP Shamsul Amar Ramli berkata, dalam kejadian pada kira-kira 10 malam itu, dua penjenayah bersenjatakan tukul meluru masuk ke premis yang sedang menamatkan perniagaan harian.

“Penjenayah bertindak memecahkan cermin kaca ruang pameran barang kemas sebelum cuba melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Shamsul Amar berkata, orang ramai yang melihat kejadian itu bertindak mengejar dan berjaya menahan seorang daripada suspek kira-kira 20 meter dari kedai itu.

“Suspek yang berjaya ditangkap adalah seorang lelaki berumur 19 tahun, bersamanya turut dirampas barang kemas yang dirompak dan tukul yang digunakan,” katanya.

Tambah beliau, polis sedang giat mengesan seorang lagi rakan suspek dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana merompak.

Semalam tular di laman media sosial video dua anggota keselamatan mengacukan pistol terhadap dua individu yang sedang melarikan diri selepas melakukan rompakan di sebuah kedai emas.

Dalam pada itu, satu rakaman video lain pula memaparkan pekerja pusat beli-belah berkenaan berjaya menangkap salah seorang daripada suspek dan menyerahkannya kepada pekerja kedai emas itu sementara menunggu kehadiran pihak polis. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here