
PUTRAJAYA – Perdana Menteri interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad selesai mengadakan mesyuarat bersama pegawai kanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Menerusi perkongsian dalam laman Facebook miliknya, Dr. Mahathir hadir bagi membincangkan mengenai Pakej Ransangan Ekonomi yang telah dirancang sebelum ini.
“Tun Dr. Mahathir Mohamad baru saja selesai bermesyuarat bersama dengan para pegawai atasan Kementerian Kewangan di dalam sesi perbincangan mengenai Pakej Ransangan Ekonomi. Inisiatif ini akan diumumkan tidak lama lagi,” katanya.
Sebelum ini, Pakej Rangsangan Ekonomi dijadualkan dibentangkan esok, namun disebabkan kemelut politik yang berlaku pakej tersebut terpaksa ditangguhkan.
Kerajaan Pakatan Harapan(PH) sebelum ini mengumumkan untuk mewujudkan pakej rangsangan tersebut dalam usaha kerajaan mengurangkan impak ekonomi luaran berikutan penularan Covid-19.

Difahamkan, pakej rangsangan itu bukan belanjawan baharu atau sebahagian daripada dasar Belanjawan 2020, sebaliknya bantuan disalurkan kepada sektor yang terkesan.-MT