
CYBERJAYA – Mahasiswa tempatan yang dibawa pulang dari University of Geosciences di Wuhan, China dibenarkan pulang ke Bintulu, Sarawak selepas 14 hari dikuarantin di Nilai, Negeri Sembilan.
Ivan Yeo merupakan mahasiswa jurusan Sains Geografi itu merupakan sebahagian daripada 107 rakyat negara ini yang dibawa pulang oleh kerajaan Malaysia pada 4 Februari lalu berikutan penularan wabak Covid-19.
Pelajar tahun dua itu dikuarantin bersama 87 lagi rakyat Malaysia dan 19 anggota keluarga bukan warga negara di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, Nilai, sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Yeo dibenarkan meninggalkan pusat kuarantin itu selepas menjalani tiga ujian perubatan yang mendapati dia negatif Covid-19.
Wuhan adalah ibu kota Wilayah Hubei dan merupakan lokasi pusat wabak yang dikesan pada Disember tahun lalu.
Suruhanjaya Kesihatan Wilayah Hubei semalam melaporkan sebanyak 62,442 jangkitan wabak melibatkan 2,144 kematian setakat ini. -MT