Pelajar tingkatan 4 cedera di mata terkena anak panah

0
184

SUNGAI PETANI – Seorang pelajar lelaki di sebuah sekolah menengah di Gurun dekat sini mengalami pengalaman mengerikan apabila sebatang anak panah tertusuk di bahagian mata kirinya dan menembusi sehingga ke telinga dalam kejadian petang semalam.

Keadaan pelajar yang tertusuk panah dalam kejadian di sebuah sekolah menengah di Gurun, Kedah, semalam.

Pelajar Tingkatan 4 sekolah itu tertusuk anak panah yang dilepaskan secara tidak sengaja oleh rakannya ketika menjalani latihan memanah di padang sekolah sekitar pukul 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah berkata pelajar itu seterusnya dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim, di sini, dan pihak hospital berjaya mengeluarkan anak panah tersebut daripada matanya.

“Doktor turut mengesahkan bahawa anak panah itu tidak mengenai bahagian bola mata dan hanya mengenai bahagian saraf sebelah mata kiri,” katanya dalam kenyataan dipetik Bernama hari ini.

Beliau berkata kejadian berlaku semasa pelajar itu bersama tiga rakannya yang terdiri daripada dua pelajar perempuan Tingkatan 4 dan seorang pelajar lelaki Tingkatan 5 sedang menjalani latihan memanah sebagai persiapan untuk kejohanan Majlis Sukan Sekolah Kedah (MSSK).

Katanya pelajar itu kini berada dalam keadaan stabil dan ditahan di wad hospital berkenaan untuk rawatan susulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here