Pelajar Universiti Limkokwing tanam 1,500 pokok di HSK Sungai Ichat

0
213

CYBERJAYA- Sebanyak 31 pelajar dan kakitangan Universiti Limkokwing menanam 1,500 pokok hutan di Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Ichat, Cameron Highlands, pada 15 Februari lalu.

Program pemuliharaan kawasan terosot dan alam sekitar itu telah dianjurkan oleh Sultan Ahmad Shah Environmental Trust (SASET) dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) dan Majlis Belia Malaysia Pahang.

Selain pelajar universiti itu, hampir 300 ahli persatuan badan beruniform Puteri Islam, Pandu Puteri dan Pengakap serta pelajar dari sekolah-sekolah di sekitar Cameron Highlands dan masyarakat setempat turut hadir menghijaukan kawasan terbabit.

Universiti berkenaan dalam satu kenyataannya berkata, para sukarelawan telah menanam 1,500 pokok yang terdiri daripada empat spesis pokok hutan iaitu Merawan Siput Jantan, Menglembu, Merbau dan Damar Minyak.

“Kawasan Cameron Highlands penting untuk sektor pelancongan dan hidupan liar yang tinggal di kawasan tersebut.

“HSK Sungai Ichat seluas 121 hektar sebelum ini diteroka secara haram dan dijadikan kebun sayur dan bunga hingga menyebabkan pencemaran pada kawasan tadahan air penduduk setempat.

“Ini merupakan kali pertama SASET mengadakan program seperti ini di Cameron Highlands yang diilhamkan oleh Tengku Arif Temenggong, Tengku Fahd Mua’adzam Shah dan mendapat sokongan penuh dari masyarakat setempat untuk menyelamatkan kawasan terbabit dari petani haram,” katanya.

Sementara itu, seorang pelajar Fathmath Sadha Mohamed dari Maldives berkata, program berkenaan memberi pendedahan mengenai cara menanam pokok dan berinteraksi dengan masyarakat setempat.

“Saya lihat semua pelajar sangat teruja dan terima kasih kepada JPNP yang menyediakan kaedah penanaman dalam jarak tertentu dan menjadikan aktiviti ini lebih mudah.

“Saya berharap lebih banyak program yang melibatkan pelajar Universiti Limkokwing akan diadakan pada masa akan datang,” katanya.

Selain itu, Latifa Ashraf Hassan Mohamed Abdulhamid Nafie dari Mesir berkata, terdapat banyak cara untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik seperti aktiviti di luar kelas.

“Bagi saya, aktiviti seperti ini sangat menyeronokkan. Selain berpeluang untuk melawat kawasan ini, saya juga berpeluang mempelajari tentang spesies pokok dan alam sekitar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, SASET turut menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Majlis Belia Negeri Pahang bagi menjalinkan persefahaman mengenai pemeliharaan dan pemulihan alam sekitar.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here