Peluang Tun M pilih anggota Kabinet diterima rakyat

0
495

RAUDHAH CITY – Tun Dr. Mahathir Mohamad diharap memilih ahli Parlimen yang mempunyai rekod bersih diterima dalam Kabinet mewakili rakyat terbanyak.

Pendekar Ekonomi Islam, Mohd. Fadzil Hashim berkata, inilah peluang Tun Dr. Mahathir memperbetulkan kepincangan dalam kepemimpinan negara.

“Peluang untuk Tun tubuhkan kerajaan yang tidak mewakili parti masing-masing tetapi benar-benar mewakili rakyat terbanyak!

“Islam dan Melayu wajib jadi kuasa utama dan diberi peluang kepada mereka yang benar-benar layak untuk menerajui Kabinet.

Diharap hanya mereka yang mempunyai rekod bersih diterima dalam Kabinet,” katanya menerusi status akaun Facebook milik beliau hari ini.

Mohd. Fadzil yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Brainy Bunch menambah, walaupun manusia mempunyai perancangan tetapi Allah juga turut mempunyai perancanganNya.

“Manusia punya perancangan dan Allah juga punya perancanganNya. Pastinya perancangan Allah itulah yang terbaik. Doakan yang terbaik untuk negara tercinta!” katanya.

Sehubungan itu beliau berkata, pasukannya di Kumpulan Brainy Bunch, Raudhah City, Malakat Mall dan Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM) sedia membantu jika diperlukan.

Semalam, Tun Dr. Mahathir meletak jawatan sebagai Perdana Menteri berikutan pergolakan politik yang berlaku dalam Pakatan Harapan.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan, semalam membatalkan jawatan menteri-menteri Kabinet atas nasihat Perdana Menteri.

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd. Zuki Ali berkata, pembatalan itu berkuatkuasa sebagaimana diperuntukkan dalam Perkara 43(5) Perlembagaan Persekutuan selaras dengan peletakan jawatan Perdana Menteri. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here