Pemangku Raja Pahang titah adakan solat hajat, berdoa

0
142

CYBERJAYA – Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah menitahkan kepada seluruh rakyat Pahang untuk bersama-sama berdoa dan mengadakan solat hajat malam ini bagi mendoakan ke atas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dapat membuat keputusan terbaik untuk seluruh rakyat Malaysia.

Titah baginda, lebih istimewa apabila doa yang dipohon itu berlaku pada malam Jumaat dan pada bulan Rejab.

“Sempena kelebihan di bulan Rejab ini, iaitu bulan yang disabdakan oleh Nabi (SAW) adalah bulan Allah SWT, bulan yang di dalamnya penuh dengan rahmat kasih sayang dan keampunan dari robbul jalil. Istimewanya lagi pada malam Jumaat ini, penghulu bagi segala hari. Hari yang harap dimakbulkan oleh Allah daripada doa sekalian hamba-hamba-Nya.

“Dengan ini memohon sekalian umat islam di Pahang khasnya, mendoakan ke atas Yang Di-Pertuan Agong dan sekalian raja-raja Melayu agar diberi pembukaan dan kebijaksanaan daripada Allah untuk membuat keputusan yang terbaik demi agama dan Rakyat di tanah air yang kita cintai.

“Mudah-mudahan Ke bawah Duli-Duli Tuanku sentiasa berada di bawah pelindungan dan pemeliharaan Allah dengan rahmat dan kasih Sayang-Nya. Ameen Ya Robbal Alamin,” titah baginda menerusi laman Instagram milik baginda hari ini.

Sejak pengumuman Tun Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan untuk meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, tumpuan seluruh rakyat Malaysia terarah kepada Agong kerana semua parti politik terbabit dalam pertikaian kuasa tidak mempunyai majoriti untuk menubuhkan kerajaan.

Berikutan itu, baginda telah meminta semua 221 ahli Parlimen untuk mengadap bagi ditemu bual sebelum keputusan lanjut diumumkan.-MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here