Pembelian panik: Barangan asas, kawalan, makanan dipantau

0
172

CYBERJAYA – Pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Johor membuat pemantauan susulan pembelian panik warga Singapura di beberapa pasar raya Sabtu lalu berikutan wabak Novel 2019 Coronavirus (2019-nCoV) di negara jiran itu.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna dalam kenyataan di sini berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif dan tindakan proaktif membuat pemeriksaan di sekitar Johor Bahru, Iskandar Puteri, Pasir Gudang dan Kulai.

Tambah kenyataan itu, Sebanyak 604 premis telah diperiksa oleh PPDNHEP Johor melibatkan 60 pegawai penguat kuasa sepanjang dua hari operasi dijalankan.

“Objektif pemeriksaan adalah memastikan barang kawalan, makanan dan barangan asas lain adalah mencukupi untuk kegunaan warga Malaysia.

Kementerian juga ingin memastikan agar tiada aktiviti sorok barang kawalan dalam kalangan peruncit dan memastikan harga dijual mengikut harga ditetapkan oleh kerajaan,” kata kenyataan itu.

Tambah kenyataan itu, kementerian memandang serius berkaitan stok barangan kawalan seperti Gula, Minyak Masak dan Tepung (GMT) di peringkat pemborong dan peruncit mencukupi.

Menurutnya, sehingga hari ini, data diterima oleh kementerian daripada pemborong berkaitan stok GMT adalah mencukupi bagi pengguna di Johor.

“Pemeriksaan terhadap topeng muka susulan penularan jangkitan coronavirus masih dijalankan di mana PPDNHEP Johor telah menerima sebanyak 65 aduan dan 187 pemeriksaan telah dijalankan terhadap penjual serta pembekal topeng muka bagi kegunaan pengguna,” ujar kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, berdasarkan pemeriksaan tersebut, dua kes telah dihasilkan ke atas premis yang menjual barang kawalan dengan harga lebih tinggi dari ditetapkan di mana kedua-dua premis berkenaan telah dikompaun masing-masing RM500.00 dan RM10,000.00.

Kenyataan itu dikeluarkan susulan tular klip video memaparkan rakyat Singapura membuat pembelian panik barangan isi rumah disebabkan kerajaan Singapura menaikkan Amaran Kedudukan Sistem Tindak Balas Perebakan Penyakit (DORSCON) dari tahap kuning kepada jingga. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here