Pemilihan Perdana Menteri: UMNO tunggu kenyataan Istana Negara

0
121

KUALA LUMPUR – UMNO akan menunggu kenyataan dari Istana Negara mengenai Sidang Dewan Rakyat  yang akan mengundi bakal Perdana Menteri kelapan 2 Mac ini. 

Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, walaupun Perdana Menteri Interim, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengeluarkan kenyataan tersebut tetapi parti itu menunggu kenyataan rasmi dari Istana Negara.

“Tiada apa-apa komen daripada UMNO dan akan tetap menunggu kenyataan Istana Negara sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas Mesyuarat Ketua-ketua Bahagian UMNO di Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Di Putrajaya, Dr. Mahathir berkata, semua ahli Parlimen seramai 222 orang akan mengundi bakal Perdana Menteri kelapan pada 2 Mac ini di Dewan Rakyat.

Menurut Dr. Mahathir, tidak ada mana-mana pihak memperoleh sokongan majoriti untuk menjadi Perdana Menteri kelapan pada pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah selama dua hari di Istana Negara.

Mengenai Gabungan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Muafakat Nasional di Johor membentuk kerajaan negeri, Annuar berkata, semua pihak mesti menghormati proses yang berlaku di negeri itu.

Tambah beliau, paling utama semua pihak perlu menghormati Istana Johor dalam proses yang berlaku mengikut saluran-saluran tertentu.

“Mengenai gabungan kedua-dua parti itu satu kenyataan bertulis akan dikeluarkan secara rasmi,” ujarnya. – MT

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here